ULASAN SUKAN | Kita semua sedar betapa sukan tanah air sentiasa memerlukan saat-saat ceria - baik untuk ahli sukan mahu pun peminat setia tempatan. Dua gabungan ini agak ketara dalam misi mengejar nama dan kejayaan.
Selain itu banyak faktor penting terbabit untuk merealisasikan impian besar berkenaan. Antaranya ialah fokus kepada asas sukan yang cukup tinggi dan pada ketika sama, serius terhadap aspek pembangunan peringkat remaja.
Di sini, seperkara lebih penting ialah, apakah program sukan di peringkat sekolah di seluruh negara - yang menjadi lubuk mencari bakat - bergerak sebagaimana dirancang sejak berdekad lamanya. Inilah tempatnya majoriti jaguh negara pada masa depan negara dilahirkan, iaitu dari peringkat akar umbi.
Dari situlah bakat-bakat muda yang menyinar dipilih sebelum diserapkan ke sekolah-sekolah sukan untuk dibimbing menjadi atlet kebangsaan yang mampu mencabar di peringkat antarabangsa.
Mereka yang berjaya akan mewakili persatuan sukan kebangsaan masing-masing seperti badminton, hoki, terjun, basikal, memanah, skuasy atau pun sukan kombat, umpamanya.
Apakah bakat milik mereka itu digilap dengan baik selepas mengikuti program pembangunan sukan negara?
Persoalan ini kita kena tanya supremo sukan masing-masing. Mereka lebih arif dalam isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran sukan. Lazimnya ia dapat dibuktikan dengan keputusan individu atau pun pasukan dalam pertandingan disertai.
Bukan cuma hadir mesyuarat
Jika kurang berhasil, bererti ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem yang dijana sekian lama.
Kebelakangan ini kita sebagai peminat sukan tanah air kurang tahu sama ada elemen-elemen penting yang digunakan dalam sistem berkenaan masih diamalkan atau sudah diabaikan.
Sukar mencari kayu pengukur sebenar bagi aspek pengurusan ini, tapi pada lazimnya statistik pencapaian tidak akan menipu kita.
Pemimpin sukan yang komited dan berjiwa sukan diperlukan setiap masa untuk mengemudi dan merancang dengan teliti hala tuju persatuan masing-masing. Tapi janganlah sampai di satu tahap apabila atlet dan jurulatih berjaya dalam tugasan masing-masing, kita melepaskan tangan sahaja.
Kejayaan dicapai adalah secara kolektif dan kita tidak mahu melihat ada pemimpin persatuan hanya hadir untuk bermesyuarat namun jarang pula turun padang melihat sendiri perkembangan anak didik masing-masing.
Dorongan dan inspirasi daripada mereka harus sentiasa kekal untuk membakar semangat ahli sukan negara. Ini harus diutamakan untuk melihat wajah ceria dalam kalangan atlet kita.
Jika keadaan sebaliknya berlaku mungkin ia mengundang masalah dari segi kerjasama sepasukan (teamwork). Lebih perit, jangan sampai jadi ‘kapal belayar tanpa nahkoda’.
Jika wujud keadaan itu, wajarlah kita tampil bersama-sama memperbaiki situasi ini segera.
Sukan popular seperti badminton, skuasy, berbasikal trek atau pun terjun adalah antara yang ditakrif baik dari segi pengurusan dan peranancangan jitu lagi padu. Keringat mereka itu berbalas dengan beberapa kejayaan besar tercipta di pentas dunia.
Ukuran awal prestasi atlet
Sekali lagi statistik tidak menipu. Ini satu contoh yang boleh diikuti persatuan sukan lain yang seperti masih berada dalam ‘zon selesa’.
Memang benar ada segelintir daripada mereka pulang membawa kejayaan dibanggakan tapi ia tidak konsisten.
Selepas tamat Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Ogos lalu, pihak berkuasa sukan kita dilihat pantas hadir menyuarakan betapa program lebih padu perlu dilakukan bagi persediaan ke arah LA 2028 kerana tempoh empat tahun bukanlah lama sangat untuk menyusul.
Kita amat menghargai sifat seperti daripada pemimpin persatuan sukan kebangsaan serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Cuma yang membimbangkan ialah, apakah semangat yang membara selepas temasya di Paris itu akan terus konsisten atau pun sekadar bicara sahaja.
Usaha gigih dan sasaran sudah harus bermula pada hari ini. Elakkan sikap seperti ‘memanaskan enjin’ setahun sebelum Olimpik berlangsung.
Mungkin kita boleh membuat satu andaian akan kesungguhan pihak atasan selepas menjadi saksi kepada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya. Lagipun, temasya ini berada di separuh perjalanan ke Los Angeles nanti.
Ia setidak-tidaknya boleh menjadi ukuran awal ke atas kemampuan atlet negara sama ada mampu naik ke podium di Sukan Olimpik atau sebaliknya.
Tidak dinafikan setiap kali kita menyebut pingat emas, ia akan terarah kepada sumbangan daripada badminton, berbasikal trek atau terjun.
Perlu petua dari senior
Pada edisi berikutnya, skuasy bakal dipertandingan buat pertama kali dalam temasya terbesar dunia itu dan menjadi satu lagi harapan besar menamatkan kemarau kilauan emas negara.
Atlet sesungguhnya memerlukan motivasi dan inspirasi mulai hari ini, dan penulis juga mahu mengutarakan betapa penting juga kehadiran lagenda sukan tanah air dan rapat dengan mereka.
Ikon sukan seperti Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (berbasikal trek) atau Nicol Ann David (skuasy) jelas menjadi idola kepada ramai atlet negara kita.
Trio ini berjaya mencapai kejayaan di tahap tertinggi dunia dan tahu apakah ramuan diperlukan membantu adik-adik mereka itu untuk melangkah masuk ke gelanggang.
Majlis Sukan Negara (MSN), umpamanya, menerusi kementerian boleh mengundang lagenda seperti nama di atas selain beberapa bekas jagoan negara lain.
Misalnya Mirnawan Nawawi (hoki) yang boleh berkongsi pengalaman kejayaan dengan atlet daripada pelbagai cabang sukan.
Kerahan latihan dan mental secara berterusan sahaja belum cukup.
Atlet memerlukan input dan petua daripada lagenda seperti mereka untuk mendapatkan satu gambaran lebih jelas bagaimana mereka boleh berjaya di pentas dunia.
Majulah sukan untuk negara!
V ASHOK ialah sebagai bekas Pengarang Sukan Berita Harian selain pernah menjadi pengarang meja berita luar negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.