ULASAN | Kalah di Sg Bakap, jangan hilang fokus

Shopee Sale

Ramai yang buat analisis tentang kekalahan calon Perpaduan tempoh hari. Lebih banyak kritikan yang datang dari ahli dan penyokong tegar PH dan jika dibuat statistik, majoriti yang menyatakan isu penyasaran diesel dan Blackrock adalah sebab utama dan kegagalan Kerajaan Perpaduan untuk menjelaskan naratifnya. 

Tidak kurang yang menambah pandangan kurangnya sentuhan dari atas ke bawah serta hilang sentuhan kepimpinan parti.

Sementara saya bersetuju seluruh analisis dan kritikan ini, atas semangat muhasabah, saya juga perlu berlaku adil terhadap isu-isu besar lain yang mendasari semua isu-isu yang dibangkitkan. 

The bigger picture akan menjawab sebahagian persoalan mengapa kerajaan hari ini terpaksa menerima impak yang kuat sehingga menjejaskan kemenangan calonnya dalam PRK Sungai Bakap baru-baru ini. 

Yang dikritik hanyalah isu cabangan dari isu lebih besar yang merupakan teras lontaran saya dalam penulisan ini supaya pendukung kerajaan perpaduan tidak tenggelam dalam kritikan tetapi tidak memahami isu pokok.

Perkara lebih besar adalah seperti berikut. 

Pertama, Landskap politik selepas PRU 2022 ditandai dengan desakan membentuk politik kesepakatan untuk melahirkan kestabilan politik setelah menemui jalan mati membentuk kerajaan. 

Terbentuknya kerajaan hari ini walaupun stabil dari segi majoriti tetapi dari sudut undi rakyat ia masih berpecah kepada segmen PN, BN dan PH dan anak muda yang tidak menentu. Di peringkat akar umbi keadaannya masih berselarak dengan pelbagai masalah dalaman parti masing-masing waima dari parti komponen kerajaan sendiri. 

Fakta ini sendiri menyumbang gerak-kerja yang masih tempang di akar umbi terkhusus antara PH-BN, walaupun di peringkat atasan pemimpin PH-BN dapat menserasikan diri sesama mereka. Di peringkat negeri dan bahagian pula seolah ada jurang yang besar antara PH-BN dalam mencapai maksud politik kesepakatan yang sebenar. 

Program mencapai maksud kesepakatan sebenar harus dijadikan keutamaan kerana ia akan menjadi faktor pengubah kepada penguasaan Kerajaan Perpaduan apabila berhadapan dengan politik akarumbi seperti PRK baru-baru ini. Jika keadaan ini tidak berubah, kita menjangkakan dalam mana-mana PRK akan datang penyandang akan kekal kerana tidak ada kesepakatan akar umbi di bawah. 

Menuding jari siapa yang membawa undi atau gagal membawa undi tidak akan membantu keadaan.

Kedua, PH boleh dianggap berhaluan centrist-reformist (tengah-reformis). Keberadaanya sejak 2009 membawa hasrat membawa perubahan secara struktural. 

Kita tidak boleh salahkan PMX dan hala tuju pemikirannya dengan ikhtiar perubahan yang dilancarkan seperti isu pencen, isu penyasaran subsidi, peningkatan gaji penjawat awam, insentif gaji progresif kepada swasta, akta tanggungjawab fiskal negara dan lain-lain inisiatif perubahan dasar bagi melunaskan apa yang diteorikan selama ini. 

Selayaknya inisiatif PMX termasuk penyasaran subsidi dipertahankan, dihayati oleh penyokong PH tanpa bersikap apologetik dan defensif. Soal hikmah masa yang sesuai tidak patut didebatkan kerana janji reform tidak tertakluk kepada timing yang sesuai atau tidak, malah ia telah lama sepatutnya dilaksanakan sejak PH1.0 lagi. 

Tidak ada istilah masa yang sesuai dalam politik, yang ada ialah azam dan kecekalan melaksanakan apa yang diperjuangkan dan membaiki komunikasi dari masa ke semasa. Fokuslah kepada perubahan struktural jika mahu melihat PH relevan!

Ketiga, isu global sekeliling seperti peperanangan Ukraine, peperanangan Israel-Hamas, persaingan perdagangan China-Amerika, Impak perubahan iklim dan kecanggihan teknologi telah mendesak negara-negara dunia memikirkan semula bagaimana ia harus responsif kepada desakan-desakan perubahan ini. Malaysia tidak terkecuali terpaksa mengambil pendekatan secara drastik bagi mengekalkan prestasi ekonominya secara berdaya maju untuk kekal bersaing di arena dunia.

PMX punya tugas yang berat memacu enjin ekonomi negara dalam suasana rumit ini. Asas peralihan ekonomi kini berpaksikan tenaga boleh perbaharui, penggunaan AI dan model perniagaan meminimumkan impak negatif sosial, alam sekitar dan meningkatkan ketelusan (ESG). 

PMX terdesak untuk membina tapak-tapak yang kukuh supaya Malaysia kekal memiliki kelebihan dalam persaingan ini. Ekonomi baru ini memerlukan Malaysia memenuhi kriteria piawaian antarabangsa supaya pelabur minat untuk datang ke Malaysia. 

MENARIK:  Calon PN ‘underdog’ ada kelebihan - Samsuri

Antaranya ialah komitmen mengurangkan tahap keberhutangan negara, penyasaran subsidi, mencipta peluang pekerjaan, gaji kompetitif, dasar hak asasi manusia yang baik, prasarana yang canggih, persediaan pasaran pekerja melalui pendidikan yang berkualiti. 

Keseluruhan tindakan drastik PMX adalah untuk menyambut pantasnya perubahan global yang berlaku, justeru isu penyasaran subsidi, penswastaan MAHB, pencen dll perlu diadili atas neraca ini.

Keempat ialah kebajikan rakyat yang sentiasa diratibkan oleh ahli-ahli politik, bezanya PMX ialah beliau melaksanakan secara praktikal dengan menggunakan kaedah dasar-dasar progresif dan bukan regresif. Untuk berbuat demikian penyasaran subsidi, skim pencen diperkenalkan supaya pulangan penjimatan dikembalikan balik kepada kebajikan rakyat seperti meningkatkan pemberian STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dari RM8 bilion kepada RM10 bilion yang memanfaatkan sembilan juta penerima. Kos kebajikan ini akan meningkat dan rakyat perlu faham bahawa penyasaran subsidi akan menyumbang bahagian yang besar kepada keperluan ini semua.

Terakhir ialah, keperluan melestarikan anugerah kekayaan negara menuntut generasi hari ini tidak bersikap penting diri. Segala kritikan perubahan  dasar yang drastik diikhtiarkan oleh PMX adalah untuk kebaikan generasi anak-anak muda akan datang termasuk prasarana pendidikan yang baik, menyediakan pasaran kerja dalam ekonomi berkembang tinggi dan bernilai tinggi, bantuan kebajikan mahasiswa dan lain-lain bentuk pendekatan yang membuka peluang generasi akan datang mengisi ekonomi baharu dan pada waktu sama mencipta khazanah kekayaan untuk generasi akan datang. 

Mengkritik dengan hanya memikirkan apa aku dapat hari ini tanpa memikirkan apa yang akan diwarisi oleh generasi akan datang adalah sikap ananiah yang tiada rasa patriotik kepada nasib anak bangsa sendiri.

Penulisan ini adalah untuk pendukung Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya berfikiran lebih progresif dan mengekalkan momentum reformis. Tiada sekatan untuk mengkritik tetapi saya khuatir kritikan kita melambangkan kekurangan kita memahami gambaran prinsip lebih besar yang sepatutnya memandu gaya berfikir kita untuk menilai sesuatu insiden. 

Tulisan ini bukan bermakna saya berpuas hati dengan kekalahan PRk Sungai Bakap kerana strategi komunikasi perpaduan masih di tahap yang tidak memuaskan apatah lagi dokongan yang sangat minimal dan tidak berkesan dari PMX dan pasukannya. 

Gerak kerja parti dari akar umbi, penguasaan media sosial dan malapnya jentera penerangan memburukkan lagi keadaan. Jika ini dapat ditingkatkan dan kabinet serta parti PH-BN mula merasai betapa dahaganya akar umbi menanti belaian rahmah dan penerangan pimpinan secara agresif ke bawah, saya yakin kerajaan perpaduan ada masa depan yang cerah untuk terus memimpin negara di masa akan datang.

Gelombang Perpaduan hanya akan dirasai apabila semua indikator di atas disatukan titik-titiknya untuk menjadi alat pelancar kepada Malaysia Madani yang akan dilihat benar-benar berjaya dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.


MUJAHID YUSOF ialah timbalan presiden Amanah merangkap pengerusi PH Perak dan anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular