ULASAN | Kenapa Ismail Haniyeh dibunuh?

Shopee Sale

ULASAN | Pembunuhan ketua politik Hamas, As-Syahid Ismail Haniyeh, di Tehran pada awal pagi Rabu lepas mengingatkan saya kepada pembunuhan komander kanan Hamas, Ahmad Jabari pada November 2012.

Semasa pembunuhan Jabari seorang penganalisis kanan hal ehwal ketenteraan Israel dan juga kolumnis akhbar Haaretz Israel, Reuven Pedatzur pada masa itu berkata para pemimpin Israel telah membunuh tiga ekor burung dengan satu lontaran batu. “Mereka membunuh seseorang yang berkuasa mengorak langkah mengadakan gencatan senjata dengan Israel; membalas dendam kerana menyebabkan kecederaan kepada penduduk Israel; dan mengisyaratkan kepada Hamas bahawa komunikasi dengannya akan hanya dikendalikan melalui kuasa tentera.”

Seolah-olah apa yang dinyatakan Pedatzur mempunyai persamaan kepada pembunuhan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh pada awal pagi Rabu.

Pedatzur telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2014. Tetapi petikan daripada The Haaretz di atas merujuk kepada gerak balas pembunuhan komander kanan Hamas, Ahmed Jabari pada November 2012 yang mencetuskan Perang Gaza pada 2012.

Saya masih ingat Perang Gaza berlaku beberapa hari selepas saya kembali ke tanar air mengikuti rombongan Aman Palestin melawat Gaza pada 2012. Saya ingat kenyataan Pedatzur itu.

Semasa berada di Gaza, seorang rakan Palestin memberitahu saya: “cuba awak tengok di ruang udara Gaza, jet-jet Israel tengah berpusing membuat pemantaun. Tidak lama lagi Gaza akan diserang, lebih baik rombongan awak balik awal.”

Sehari sebelum kembali ke tanah air, peranang sudah berlaku 5km daripada hotel tempat kami tinggal, pada malam itu semua penghuni hotel telah lari keluar berlindung di tempat selamat.

Saya dan rakan saya, seorang wartawan kanan sebuah akhbar tabloid tidur mati di hotel. Pada pagi selepas bangun, saya ke lobi dan berasa janggal kerana hotel sunyi sepi tiada orang. Tidak lama kemudian seorang rakan wartawan masuk ke hotel, saya bertanya “mana semua orang, awak pergi mana pagi-pagi ni?” Dia menjawab semalam berlaku peranang 5km dari hotel dan penghuni hotel semua lari keluar.

Saya terkejut menyoal kenapa tidak kejutkan kami? Dia bertanya awak tinggal di bilik mana? Saya berkata di bilik tercorok di hujung sekali. Dia berkata alamak maaf tidak “alert”. Selepas nampak pekerja hotel berada di lobi, saya menanyakan mengenai peristiwa serangan tentera Israel itu. Pekerja hotel di lobi meminta kami jangan risau kerana menurutnya hotel itu adalah hotel paling selamat di Gaza.

Saya tanya kenapa, katanya “di sinilah tempat pengintip/spy-spy menginap, jadi hotel ini tidak akan menjadi sasaran Israel.” Saya bertanya salah seorang petugas Aman Palestin, dia kata tidak tahu pula tentang hal itu. Saya tidak ingat nama hotel ini, jika tidak silap Hotel Arafat. Saya rasa sekarang hotel ini telah dibom kerana tiada tempat selamat di Gaza.

Siri pembunuhan pemimpin Hamas

Soalan kenapa Jabari dibunuh? Perkara yang sama berlaku kepada As Syahid Ismail Haniyeh, Jabari percaya bahawa demi kepentingan penduduk Palestin, Hamas harus mengadakan rundingan gencatan senjata jangka panjang dengan rejim haram Israel.

Jabari berunding dengan aktivis dihormati Israel, Gershon Baskin. Tidak lama sebelum pembunuhan, Baskin telah menunjukkan Jabari draf cadangan gencatan senjata jangka panjang supaya Jabari membaca, menilai dan meluluskannya.

Baskin berkata selain Jabari, seorang pemimpin kanan Hamas juga bersetuju dengan gencatan senjata itu dan menurut Baskin ia telah dirujuk kepada Menteri Pertahanan Israel semasa itu, Ehud Barak.

Jika Jabari masih hidup, adakah beliau menandatangani dokumen perdamaian jangka panjang itu? Kemungkinannya ada apabila memandang kepada tanda-tandanya.

Saya mengikuti juga siri pembunuhan pemimpin Hamas dan trendnya jika ada kalangan pemimpin yang cenderung kepada rundingan perdamaian, gencatan senjata dengan rejim genosid ini mereka akhirnya akan dibunuh.

Kalau tidak silap semasa Jabari dibunuh, Perdana Menterinya ialah Netanyahu! Siapa masih ingat, pengasas Hamas, Sheikh Ahmad Yassin? Almarhum telah dibunuh kurang tiga bulan selepas mencadangkan gencatan senjata jangka panjang dengan Israel yang menuju ke arah pembentukan sebuah negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

Perkara yang sama berlaku kepada pengganti Almarhum Ahmad Yassin, Abdel Aziz al-Rantisi (saya sempat menziarahi kuburnya) juga kurang tiga bulan selepas mencadangkan gencatan senjata kepada Israel.

Pembununan As-Syahid Ismail Haniyeh 2024 mempunyai persamaan dengan pembunuhan Jabari 2012.

Antigencatan senjata

Marilah kita hadam perkara ini, As-Syahid Ismail Haniyeh merupakan perunding penting bagi rundingan gencatan senjata tetapi rejim genosid Israel merancang untuk membunuhya secepat mungkin dan mereka tidak berminat untuk rundingan tebusan pun.

Mereka ingin supaya rundingan gencatan senjata dihentikan, lumpuh dan gagal. Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani berkata: “Bagaimana rundingan hendak berjaya jika satu pihak membunuh perunding di sebelah pihak yang lain?”

MENARIK:  Suspek tembak di KLIA sasar isteri, terkena pengawal peribadi

Dalam analisis Pedatzur ke atas kematian Jabari pada 2012, beliau berkata: “pembuat keputusan kami, termasuk menteri pertahanan dan mungkin juga Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengetahui mengenai perananan Jabari menganjurkan perjanjian gencatan senjata kekal…sesungguhnya keputusan membunuh Jabari menunjukkan para pembuat keputusan tidak inginkan gencatan senjata pada waktu ini dan menyerang Hamas adalah perkara sebaiknya.”

Tukar nama ‘Jabari’ kepada ‘Haniyeh’ dan ia sama juga walau berlaku pada 2012 dahulu.

Sikap rejim genosid Isarael yang antigencatan senjata dapat disaksikan semasa gencatan senjata hendak dirundingi pada akhir Mei, kereta kebal Israel masuk ke Rafah melanggar perjanjian yang ditandatangani dengan Mesir.

Pada November 2023 apabila gencatan senjata sementara dirundingi, rejim genosid Israel mempertingkatkan serangan di utara Gaza, membunuh ramai penduduk dan melancarkan serangan udara di Khan Younis dan Rafah sebelum gencatan senjata sementara berkuat kuasa.

Netanyahu telah berulang kali menyatakan dia tidak mahu peranang berakhir kerana tidak akan mencapai objektif menghancurkan Hamas dan memusnahkan Gaza dan menguasainya.

Jabari walaupun seorang komander militer Hamas bahkan aktivis juga, inginkan perdamaian dan rundingan gencatan senjata, begitu juga dengan Ismail Haniyeh, yang menurut media Barat, seorang pragmatik, tokoh utama dalam rundingan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan.

Perkataan “pragmatik”, cinta perdamaian dan gencatan senjata adalah perkataan jijik bagi Netanyahu dan kabinet genosid Israel.

Berbanding dengan seorang lagi pemimpin Hamas, Yahya Sinwar yang lebih militan. Israel tidak ingin melihat Hamas menjadi sebuah kumpulan atau organisasi yang merundingi gencatan senjata seolah-olah mengiktiraf Hamas sebagai sebuah kerajaan.

Israel mahu peranang terbuka di Timur Tengah

Namun Israel juga sedang berhadapan dengan kegagalan sejak 7 Oktober 2023 dalam menghancurkan Hamas dan siri pembunuhan ke atas para pemimpinnya seperti Saleh Ar-Rouri pada Januari lepas bertujuan melumpuhkan Hamas dari segi kepimpinan politik dan ketenteraan.

Netanyahu inginkan Hamas sekadar pertubuhan militan yang berperanang menentang mereka. Maka mudah bagi mereka untuk menghancurkan Hamas dan kemudian membunuh pemimpin peranang seperti Yahya Sinwar atau Mohamad Deif (ada dakwaan pihak Israel dia telah mati dibunuh) yang memimpin sebuah pertubuhan militan yang tiada matlamat menubuhkan sebuah negara.

Namun Yahya Sinwar akan meneruskan penentangan dan peperanangan menentang rejim genosid Yahudi dan ia tidak merubah apa-apa di medan pertempuran di Gaza.

Rejim genosid ini menunjukkan kepada kuasa Barat bahawa pembunuhan dilakukan di bumi Iran selepas majlis perasmian pelantikan presiden barunya bahawa Iran tidak sekuat mana seolah-olah pepat di luar rencung di dalam.

Ia tentunya melibatkan maruah Iran dan menaikan kemarahan rakyat mahukan Iran menyerang Israel, sesuatu yang diharapkan Israel, peranang terbuka di Timur Tengah.

Sehari sebelum pembunuhan Ismail Haniyeh, tentera Israel pada lewat Selasa mengumumkan bahawa ia telah membunuh Fuad Shukr, yang dinamakan sebagai komander paling kanan Hizbullah dan dipertanggungjawabkan berhubung serangan pada 27 Julai lalu yang mengakibatkan puluhan anak muda terbunuh di Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.

Mengapa Israel membunuh pemimpin kanan Hizbollah sekutu kuat Iran, membunuh Ismail Haniyeh di bumi Iran? Ini memandang sikap rejim genosid yang sukakan kumpulan pelampau dan pandangan ekstrim yang menguntungkan mereka.

Rejim Zionis tidak suka kepada pemimpin sederhana, berfikiran kritikal yang inginkan gencatan senjata dan perdamaian.

Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian adalah daripada golongan sederhana dan tidak disukai rejim Zionis.

Israel juga mahukan AS terlibat sekiranya peranang terbuka tercetus dan inginkan pengundian presiden AS, sama ada calon Republikan Donald Trump atau calon Demokrat, Kemala Harris memacu kempen pilihan raya dengan nada peranang menyokong Israel sepenuhnya.

Pembunuhan Haniyeh akan meningkat sikap ekstremisme pelampau Islam di dunia Islam - sesuatu yang Israel inginkan, reaksi bertali-temali serangan demi serangan, membawa Timur Tengah ke kancah pergolakan dan kekacauan dan dendam mendendam.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular