ULASAN l Muktamar PAS ke-70 adalah kemuncak politik kebencian

Shopee Sale

ULASAN l Sejarah akan merakamkan Muktamar Tahunan ke-70 PAS sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam PAS di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang.

Sejak 40 tahun lalu, identiti Hadi Awang sudah sinonim dengan politik kebencian dan menyemarakkan fenomena takfir di negara ini.

Lidahnya tidak letih mencaci-cerca saingannya dan sangat liberal menggunakan label kafir, nifaq, agen Barat, Freemason dan lain-lain lagi terhadap mereka yang tidak disukainya. Akhlak dan gelagatnya lebih hampir kepada Abdul Rahman ibn Muljam dan menyimpangi daripada tauladan Rasulullah SAW.

Adalah penting untuk kita memahami sejarah dan konteks dengan tepat sebelum membuat perbandingan atau tuduhan. Pernyataan yang dibuat oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang perlu ditinjau semula berdasarkan beberapa fakta penting.

Fakta sejarah menunjukkan Madinah diperintah oleh Nabi Muhammad dan para pengikut beliau yang beriman dan bukan golongan munafiqun.

Tuduhan munafik

Oleh itu, perbandingan antara kerajaan perpaduan hari ini dengan golongan munafiqun di Madinah adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Dari sudut agama, adalah tidak wajar untuk menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain.

Perlu diingatkan bahawa semasa PAS dalam kerajaan persekutuan (2020-2022), tiada usaha untuk mengharamkan arak dan perjudian, menunjukkan isu ini lebih kompleks.

Selama 30 bulan lebih PAS menyertai kerajaan PN membuktikan di sebalik retorik-retoriknya, PAS sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara.

Kegagalan ini jelas apabila rakyat sendiri terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri.

Walaupun kini memerintah empat negeri dengan sebahagiannya majoriti penuh, tindakan serupa masih belum diambil.

Ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar memerlukan pertimbangan lebih luas dan PAS kekurangan idea dalam memimpin negara. 

Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar-dasar tersebut bukan sekadar isu kekuasaan politik, tetapi melibatkan pertimbangan yang lebih luas.

Hidangan cacian dan angan-angan

Cacian, kebencian dan angan-angan inilah yang dihidangkan pemimpin-pemimpin PAS dalam ucapan-ucapan dan resolusi-resolusi mereka pada Muktamar PAS ke-70.

Sementara Rasulullah telah mewujudkan Piagam Madinah untuk menyatukan semua penduduk Madinah dan mengisytiharkan yang Islam dan bukan Islam sebagai satu ummah, Hadi Awang sentiasa bertindak sebaliknya dengan melaga-lagakan antara rakyat berbagai kaum dan antara rakyat berbagai agama.

Sementara Rasulullah menyampaikan risalahnya dengan mau`idzah dan hikmah, Hadi Awang didorongi kebencian dan kemarahan dan membudayakan caci-cerca, herdik-mengherdik dan memaki hamun di dalam PAS.

Rasuah dan penyelewengan

Sementara Rasulullah telah membina sebuah masyarakat yang adil dan dipimpin para sahabat yang menjadi contoh akhlak yang mulia, PAS di bawah kepimpinan Hadi Awang menyaksikan rekod paling ramai ahli keluarga pemimpin-pemimpin PAS disiasat dan didakwa kerana penyelewengan.

Kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan oleh mahkamah kerana menang dengan jalan rasuah ketika pilihan raya.

Ini adalah fakta yang semua rakyat Malaysia perlu tahu, faham dan ingat.

Umat Islam di Malaysia menghadapi berbagai masalah penagihan dadah, keganasan domestik, rasuah, kemiskinan dan merupakan yang paling ramai dijangkiti HIV namun PAS dan Abdul Hadi ketandusan idea dalam isu-isu mendesak ini dan sebaliknya lebih fokus berwirid berangan-angan ingin merampas kuasa kerajaan dan mengabaikan agenda hudud yang dilaung sebagai prinsip PAS.

MENARIK:  Lawatan Li Qiang eratkan lagi hubungan Malaysia-China

Ketika kerajaan hari ini bertekad memerangi rasuah dan penyelewengan, PAS mesra berselingkuh dengan mereka yang terbabit dengan rasuah dan penyelewengan.

Tambah bini

Ketika kerajaan bersungguh-sungguh membela nasib rakyat Palestin, pemimpin-pemimpin PAS berangan-angan ingin menambah isteri.

Adakah berbagai penyelewengan, permusuhan serta kebencian yang kita lihat datang daripada PAS menandakan PAS hari ini lebih didorongi nafsu dan telah ditarik rahmah oleh Allah?

Adakah ahli-ahli PAS sedar bahawa disebalik hujah-hujah disaluti al-Quran dan hadis adalah sikap-sikap dan tindak-tanduk yang sebenarnya menyeleweng daripada ajaran Islam?

Adakah pengikut dan pemimpin PAS sedar bahawa nilai, pendirian, risalah dan pendekatan mereka semakin menyerupai golongan Khawarij dan Hadi Awang bertanggungjawab sepenuhnya menyemai nilai-nilai dan amalan-amalan ini sejak 40 tahun dahulu?

Titis air mata

PAS hari ini telah menyimpang jauh dari perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Profesor Zulkifli Muhammad, Burhanuddin Al Hilmi, Ustaz Fadhil Noor, Yusuf Rawa dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Di bawah kepimpinan Hadi Awang, pasti mereka menitiskan air mata melihat PAS mengalami kemerosotan, termasuk kegagalan Hadi Awang mempertahankan kemenangan di Terengganu pada PRU 1999, di mana beliau hanya menjadi Menteri Besar sepenggal, dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah.

Pemimpin PAS sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengikuti kerajaan Hidayah dan Hadi Awang mengkritik kerajaan perpaduan Madani sebagai kerajaan Jibayah.

Walau bagaimanapun, usaha kerajaan Madani meningkatkan ekonomi negara untuk membantu rakyat terbukti berhasil, manakala cubaan lemah PAS merosakkan kepercayaan pelabur menunjukkan perjuangan politik yang hipokrit dan berlandaskan fitnah.

Kita harus mengelakkan retorik yang memecah-belahkan dan sebaliknya mengutamakan dialog konstruktif untuk menangani cabaran negara.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kenyataan perlu berdasarkan fakta dan membawa perpaduan, bukan perpecahan.

Kita juga harus kritis dalam menilai penggunaan agama, membezakan antara kepentingan politik dan kebaikan ummah secara tulen.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL ialah Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular