ULASAN | Malulah kepada seluruh rakyat…

Shopee Sale

ULASAN | Jika BN dan PH benar-benar ikhlas ingin berkawan, berhentilah daripada terus bertikam lidah.

Kenang semula bagaimana kita semua berada di persimpangan sebelum atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, kerajaan perpaduan terbina.

Titah baginda itu adalah demi memastikan kerajaan dapat dibentuk, kestabilan diwujudkan, pembangunan negara dilaksanakan, ekonomi dipulihkan serta kebajikan rakyat diberikan perhatian. Bukan untuk terus bertelagah antara satu sama lain.

Saya yakin, rakyat terbanyak juga mahukan perkara yang sama. Rakyat ingin melihat kerukunan dalam parti-parti yang membentuk kerajaan. Hanya pembangkang yang mahukan suasana kacau-bilau dan lalu meruntuhkan kerajaan ini.

Justeru, PH dan BN perlu menstabilkan suhu politik. Tidak lain dan tidak bukan, supaya kerajaan boleh fokus pada agenda besar iaitu memulihkan ekonomi negara.

Hari ini kadar tukaran mata wang di antara dolar AS dan ringgit semakin mengukuh. Ini berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia. Semalam, rakan-rakan memberitahu, ramai pemain bisnes mula mengeluarkan wang mereka untuk melabur dan membuat transaksi.

Katanya, nilai saham juga bergerak dan mula melonjak. Ramai yang gembira walaupun belum 100 peratus berpuas hati. Tetapi ekonomi kita nampaknya bergerak ke arah yang betul.

Bagaimana ini boleh dicapai? Tidak lain tidak bukan kerana kestabilan kerajaan yang ada pada hari ini. Para pelabur kembali yakin, ekonomi kita kembali bergerak, perniagaan mula membuat keuntungan dan pengguna ada keberanian untuk berbelanja.

Tahu apa keutamaan semasa

Saya sendiri menjadi sebahagian daripada jentera PRK DUN Mahkota baru-baru ini. Ini naratif yang kita bawa setiap kali bertemu pengundi Mahkota.

Tidak dinafikan ada yang kurang senang dengan pertembungan parti-parti politik di atas. Ada yang tawar hati untuk keluar mengundi. Ada yang berfikir hendak mengundi pembangkang.

Di dalam sebuah kedai kopi atau warung yang kami kunjungi untuk berkempen, tidak kurang dua atau tiga daripada 10 orang yang ditemui meluahkan rasa tidak senang dengan gelagat orang politik.

Tetapi apabila kami berikan penerangan, mereka boleh terima. Penerangan kami tertumpu kepada pada peri pentingnya kita menyokong kerajaan hari ini dan pentingnya menolak ke tepi bising-bising peranang mulut orang politik untuk melihat objektif yang lebih besar.

Beri fokus pada iltizam kerajaan perpaduan untuk memulihkan ekonomi, menstabilkan negara.

Alhamdulillah, rakyat boleh bersetuju. Mereka faham dan tahu yang mana satu keutamaan kita pada masa ini.

Justeru sebagai orang politik, takkanlah para pemimpin dalam BN dan PH lebih dungu untuk menilai baik dan buruk naratif yang sedang kita cipta sekarang ini!

MENARIK:  PANDUANKINI | Siapa dan apa yang dilindungi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat?

Belum seminggu menang PRK kita beramai-ramai sudah mahu menghunus pisau dan parang, peluru dan pistol? Kita melepaskan tembakan antara satu sama lain. Atau kita sedang seronok menembak kaki sendiri?

Malulah kepada rakyat yang sedang menyaksikan telatah kita. Mereka memerhatikan orang politik dengan kritis. Semasa berkempen, semuanya cantik. Kita boleh ketepikan perselisihan dan melihat objektif lebih besar untuk rakyat.

Sudah ‘angkat kerusi’

Sebaik saja menang, kita bergaduh macam budak-budak yang tidak matang.

Saya fikir, pengundi Mahkota boleh bersetuju dengan usaha dipamerkan kerajaan perpaduan. Nampaknya rakyat positif dengan kestabilan yang terhasil daripada kerjasama PH dan BN.

Setakat beberapa kekurangan di sana sini semasa PRK, itu perkara biasa. Apatah lagi ia bersifat setempat dan kita terlibat dalam PRK. Janganlah sampai kita berbalah mempertikai itu dan ini.

Kita tidak boleh nafikan semua pihak berkerja keras menyumbang untuk kemenangan di DUN Mahkota. Jika ada kelemahan, buat post-mortem dan selesaikan dalam semangat perpaduan.

Sebab itu bagi saya, jika PH dan BN ikhlas untuk berkerjasama, berhentilah daripada terus bertikam lidah. Berhenti tembak menembak, hentam menghentam.

Saya lihat, pemimpin tertinggi PH dan BN pun belum menyuarakan apa-apa lagi, tetapi yang di bawah sudah 'mengangkat kerusi dan meja'.

Sebaiknya berhentilah berbalah. Duduk semeja, kenal pasti kekuatan, dan perbaiki kelemahan. Jangan kerana kita, rosak permuafakatan seluruhnya.

Jangan sampai kerana kita, terganggu usaha kerajaan perpaduan untuk mengukuhkan negara.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular