ULASAN | Mencari ketua jurulatih berjiwa Harimau Malaya

Shopee Sale

ULASAN SUKAN | Isu pelantikan ketua jurulatih baru skuad bola sepak negara sentiasa menjadi ‘bahan panas’ dan perkembangannya nampak lebih serius kali ini.

Ini dirasakan begitu kerana orang ramai berpendapat ia harus seiringan dengan revolusi memperkasakan Harimau Malaya melalui struktur baru pengurusan pasukan seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Perkembangan semasa juga akan mencabar FAM kerana sebarang kesilapan dalam pengundian calon hanya mengundang lebih banyak cemuhan yang bersifat kebencian dalam kalangan pengkritik dan peminat tegar.

Jangan lupa juga kepada pembayar cukai di negara ini yang sering rasa 'tertipu’.

Ringkasnya, biarlah pelaburan itu berbaloi, dan pengundian ketua jurulatih tidak sekadar tangkap muat. Lazimnya kita mudah menekan butang panik jika tidak dapat mengisi jawatan itu.

Tambahan pula jika kejohanan besar semakin dekat.

Ini mungkin dapat disaksikan apabila calon berkenaan akan terus dikerah dalam tempoh tiga bulan pertama kerana pasukan negara akan terbabit dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun depan.

Jelas, dalam tempoh singkat seperti ini FAM perlu mendapatkan khidmat seseorang yang ada keupayaan menggalas segala tekanan serta sudah merasai asam garam bola sepak pada tahap tertinggi, sekurang-kurangnya di peringkat Asia.

Persoalannya, mampukah calon itu mencipta sesuatu keajaiban secara segera untuk menjayakan misi penting kita?

Secara logik seorang jurulatih baru wajar diberikan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan mengenali pemain serta pasukan, selain budaya permainan di sini.

Bukan bermakna FAM gagal

Tetapi dalam situasi sebegitu dia boleh dianggap ‘kurang bernasib baik’ kerana sasaran pihak pengurusan sudah pasti mahu layak ke pusingan akhir kejohanan berkenaan buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada 2023.

Malaysia - pasukan ke-132 dalam ranking dunia - diletakkan dalam Kumpulan F bersama Vietnam (116), Nepal (176) dan Laos (186). Hanya juara kumpulan akan layak ke Piala Asia yang bakal diadakan di Arab Saudi.

Pada 16 Julai lalu Pau Marti Vicente dilantik selaku ketua jurulatih sementara selepas Kim Pan-gon membuat kejutan meletakkan jawatan. Namun, Vicente turut membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan negara pada 31 Dis ini selepas cabaran Harimau Malaya dalam Piala Asean - yang sedang berlangsung sekarang - berakhir.

Sudah pun ada nama-nama besar disebut ketika ini. Misalnya bekas pengendali Mesir, Carlos Queiroz, malah bekas ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann.

Jurgen Klinsmann

Tidak ketinggalan bekas pengendali JDT, Esteban Solari, dan bekas pemain Australia serta Everton, Tim Cahill.

Pada era digital ini tugasan seorang ketua jurulatih amat penting kerana jatuh bangun skuad dibimbing itu terletak kepada kemampuan dan pengalamannya mengubah selera pemain, serta membantu mereka membina perwatakan garang bagi menangani segala cabaran.

Kita tidak bermaksud FAM gagal mendapatkan pengendali bermutu sebelum ini. Malah, ada dalam kalangan mereka - khususnya jurulatih import - berjaya menyuntik sistem berkesan yang pernah membutirkan hasil.

Cuma falsafah dibawa mereka itu didapati kurang berjaya. Ia sama ada kerana tidak sesuai diadunkan dalam budaya bola sepak kita, atau mereka sendiri kekurangan pemain yang berkemampuan menyahut cabaran dalam kejohanan penting.

Selalu hanyut di Asia

Antara pengendali import yang dimaksudkan adalah Frank Lord, Allan Harris (England), Karl Heinz Weigang (Jerman), Jozef Venglos (Slovakia), Ken Worden (Australia), Claude Le Roy (Perancis), Hatem Souissi (Tunisia), Nelo Vingada (Portugal) dan Betalan Bicskei (Hungary).

Tidak kurang juga keupayaan pengendali tempatan seperti mendiang B Sathianathan, K Rajagopal, Ong Kim Swee, Tang Cheng Hoe atau Dollah Salleh.

Malah, mereka berjaya membuktikan nilai masing-masing itu berbaloi dengan bayaran diperoleh daripada majikan.

Rajagopal boleh dianggap cemerlang daripada kelompok berkenaan apabila menamatkan kemarau 20 tahun tanpa gelaran negara ini dengan memacu skuad Harimau Malaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009.

MENARIK:  Laporan media asing berkenaan potongan subsidi bahan api tak beretika - PM

Dia turut membantu pasukan negara memahat sejarah menjuarai Piala Asean buat julung kali pada 2010.

Tapi apa berlaku selepas itu? Kita cuma menunjukkan aksi konsisten di kejohanan serantau, termasuk memenangi Pestabola Merdeka. Kita hanyut apabila bersaing pada tahap Asia yang sepatutnya menjadi cabaran sebenar.

Skuad negara pernah membuat satu dua kejutan, termasuk ketika seri 3-3 menentang jaguh benua, Korea Selatan, dalam pusingan akhir Piala Asia 2023. Tetapi, aksi yang tidak dijangkakan seperti itu, anehnya mudah tenggelam pada misi berikutnya.

Segala pengalaman itu sekadar mengajak kita untuk melihat pengendali baru nanti bukan sahaja pakar dalam aspek taktikal dan teknikal bahkan menjelmakan barisan yang memiliki kesinambungan berpanjangan menerusi struktur permainan padu dan mantap.

Harap-harap begitulah.

Baru-baru ini, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, dipetik berkata betapa ketua jurulatih yang bakal dilantik itu harus meraih pencapaian lebih baik daripada Pan-gon dan Vicente.

Bukan harap sepanjang masa

Katanya calon itu harus sudah teruji dan pernah membimbing skuad negara lain yang pernah menjadi juara sesebuah kejohanan, selain memiliki sentuhan 'ajaib' bagi meningkatkan status Harimau Malaya.

“Selain itu, dia juga perlu memahami budaya bola sepak Asia dan Malaysia. Kalau dia tak tahu budaya kita, payah juga,” katanya kepada BH Sukan baru-baru ini.

Rasa-rasanya apa mahu diutarakan Zulakbal ada asasnya. Itu juga bererti FAM perlu lebih teliti kali memilih calon paling sesuai dan pada ketika sama mendapatkan pandangan pakar dalam industri sebelum membuat keputusan yang bakal menentukan hala tuju bola sepak negara.

Penulis tidak melihat jurulatih baru skuad kebangsaan akan bertahan lebih daripada empat atau lima tahun dengan tahap kesabaran kita sekarang.

Tetapi setidak-tidaknya jika ada kejayaan besar dilakar olehnya nanti, ia dapat disambung baik oleh jurulatih lain apabila menjadi pengganti.

Kim Pan-gon

Selain tugasan kepada skuad senior, adalah wajar juga dia ‘diberikan kuasa’ memantau perkembangan skuad remaja kebangsaan secara serentak jika benar dia dinilai sebagai jurulatih yang ada nama serta dihormati.

Tidak perlulah terbabit sehingga sepanjang masa, 24/7. Cuma dua atau tiga kali sebulan pun sudah cukup untuk mendapatkan gambaran sebenar bakat baru dalam kalangan pemain remaja.

Dia juga boleh menjadi penasihat kepada pengurusan pasukan.

Mungkin kita pernah melihat beberapa pengendali sebelum ini berbuat perkara sama tapi cuma tidak pasti apa hasil sebenarnya.

Jika benar mahukan revolusi bagi memperkasakan Harimau Malaya, kita semua perlu bekerja gigih setiap masa berbanding hanya bercakap.

Satu perkara yang juga penting, jika FAM mengumumkan ketua jurulatih pilihan mereka, biarlah dia melihat skuad Malaysia dengan hati dan bukan mata sahaja.


V ASHOK ualah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular