ULASAN SUKAN | Apakah rumusan terbaik untuk menjelaskan pencapaian atlet dan pasukan negara di pentas antarabangsa sepanjang 2024? Gemilang, konsisten atau pun gagal?
Secara umum, memang ketiga-tiga kategori itu wujud pada sepanjang tahun lalu dan ia dipisahkan oleh gred pencapaian yang berbeza.
Apa pun, keceriaan pada wajah komuniti sukan negara dapat disaksikan semasa menyambut kejayaan skuad badminton, skuasy, pencak silat, sepak takraw dan paralimpik yang berjaya melangkah naik ke podium dalam kejohanan bertaraf dunia.
Sukan popular seperti berbasikal trek dan terjun pula gagal menyertai kumpulan di atas andai berpandukan kepada Sukan Olimpik lalu.
Pada masa sama kita tidak hairan dengan pencapaian bola sepak dan hoki padang dengan statistik hambar masing-masing.
Secara keseluruhan, atlet dan skuad kebangsaan kita tetap menunjukkan peningkatan. Ini juga mungkin ada kaitan dengan fungsi program pembangunan sukan.
Cuma apabila menyebut pingat emas di pentas terbesar dunia, kita masih gagal menemukan kata-kata terbaik.
Pentadbir dan pengurusan pasukan sukan negara - termasuk ketua jurulatih - sudah melakukan segala-galanya. Begitu juga dengan atlet yang mencurahkan keringat pada sepanjang masa.
Apa lagi yang harus dilakukan?
Rasanya, kita berdepan dengan pilihan sama ada perlu mengikut sistem yang sudah dilakar dengan lebih serius, atau lakukan perubahan mengikut peredaran zaman. Ia juga mungkin bergantung kepada sifat kita sendiri yang seperti acuh tak acuh.
Penyelamat maruah negara
Adakah sistem itu dijana secara betul atau pun dibuat ala kadar saja? Macam itu pun susah juga - ibarat pelaburan yang tidak berbaloi.
Pujian harus diberikan ke atas sukan tertentu seperti badminton, skuasy, terjun, berbasikal trek dan paralimpik yang lebih konsisten dalam sistem mereka, selain program pembangunan yang sering menunjukkan hasil.
Ini satu petanda positif kerana sentiasa ada kesinambungan. Mohon maaf jika ada beberapa lagi disiplin lain yang menunjukkan kejayaan sama namun tercicir dalam tulisan ini.
Kembali kita kepada perbincangan awal tadi. Realitinya kita tidak melihat angka kejayaan besar dalam kategori gemilang sepanjang tahun ini. Hal itu kerana lazimnya ukuran diambil berdasarkan kepada kejohanan paling tinggi nilainya di dunia.
Di sini, ia terarah kepada Sukan Olimpik di Paris pada Ogos lalu.
Kita memenangi dua pingat gangsa melalui acara badminton (Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik). Mereka sesungguhnya penyelamat maruah negara. Pada satu ketika kontinjen negara kelihatan akan pulang dengan tangan kosong sekali gus mengulangi aib pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.
Apa pun, mereka belum lagi dapat ditakrif gemilang di Olimpik kerana skuad badminton negara memang sudah berjaya meraih pingat perak beberapa kali, termasuk pada edisi 2008, 2012 dan 2016 menerusi keringat Lee Chong Wei.
Ringkasnya, badminton boleh disebut berada dalam kategori konsisten dan menjadi penyumbang terbesar pingat kontinjen negara dalam temasya Olimpik sejak ia diperkenalkan di Barcelona pada 1992.
Kita amat mengharapkan wira negara dapat naik ke podium lagi di Kejohanan Terbuka Malaysia apabila tirai Jelajah Dunia BWF disingkap pada 6 Jan 2025.
Begitu juga pertaruhan kuat ke atas satu lagi pasangan beregu lelaki yang semakin garang, Nur Izzudin Ramsani-Goh Sze Fei.
Sukan lain seperti skuasy juga boleh diselitkan dalam kelas yang sama seperti badminton untuk tahun ini.
Menuai dua emas
Jaguh negara, S Sivasangari - calon pengganti Nicol Ann David - tidak menghampakan peminat apabila mencipta sensasi dengan menjuarai Kejohanan Skuasy Klasik London pada April lalu.
Habuannya ialah hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141). Sungguhpun hadiah kemenangan dalam skuasy masih kecil jika mahu dibandingkan dengan badminton dalam Jelajah Dunia, namun ia tetap berhak dianggap pencapaian besar.
Di sini bicaranya adalah mengenai kualiti bertaraf dunia yang berjaya diperagakan. Antara lawan yang menjadi mangsa srikandi skuasy negara itu adalah pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbibi, apabila mereka bertembung pada peringkat suku akhir.
Dalam saingan separuh akhir, Sivasangari berjaya menjinakkan Nele Gilis dari Belanda yang berada di ranking keempat dunia.
Pemain berusia 25 tahun dari Alor Setar itu akhirnya mengesahkan mahkota kejuaraan milik dia selepas menumbangkan pemain ranking kedua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy di pentas final.
Jika ada pencapaian lebih baik daripada badminton dan skuasy, ia adalah kem Paralimpik Malaysia yang pulang dari Paris dengan tuaian dua emas. Itu satu lagi disiplin yang wajar diletakkan dalam kategori gemilang.
Cheah Liek Hou gah memperagakan kelibatnya muncul juara acara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) manakala Bonnie Bunyau Gustin mengungguli acara powerlifting kategori 72kg. Bonnie juga memecahkan rekod dunia yang dilakarnya sendiri dengan angkatan 232kg.
Syabas kepada atlet paralimpik kita itu yang sentiasa gigih dan penuh bersemangat mengharumkan nama negara.
Sukan woodball bukan satu tarikan besar di tanah air, namun kejayaan Nor Rinda Ramli muncul sebagai juara dalam kategori fairway wanita pada Kejohanan Piala Dunia di Shaoxing, China pada Okt lalu harus membuka mata kita semua.
Cemerlang walau tak juara
Begitu juga Nor Farah Ain Abdullah yang mencipta kejayaan menjuarai acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Channel Islands pada 27 April.
Baru teringat - bolehkah skuad hoki lelaki negara juga diletakkan dalam kategori gemilang? Ini berikutan kejayaan mereka muncul sebagai naib juara pada Kejohanan Piala Dunia 5s di Muscat, Oman, pada Jan. Ia dianjurkan buat julung kali oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Belanda muncul juara kejohanan selepas menewaskan Malaysia 5-2 dalam kejohanan membabitkan 16 negara dari lima benua. Selain Malaysia dan Belanda kejohanan tersebut turut disertai negara seperti Australia, New Zealand, India, Pakistan, Switzerland dan Poland.
Apa pun kejohanan lima sepasukan itu adalah pertandingan yang baru diperkenalkan dan bukan lagi setaraf Piala Dunia FIH yang dihadiri ramai pemain bintang. Namun, pujian harus diberikan kepada setiap wira negara yang membanggakan peminat tanah air apabila dapat layak ke final.
Ringkasnya, mereka tak muncul juara, tapi masih gemilang.
Dua lagi acara sukan yang menepati kategori gemilang ialah skuad senior negara yang membawa pulang enam emas dari Kejohanan Pencak Silat Dunia di Abu Dhabi, dan kelibat skuad sepak takraw menjuarai acara regu dan beregu menewaskan musuh tradisi, Thailand, pada Kejohanan Piala Dunia di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Kepada semua atlet dan skuad kebangsaan, kita mahu mereka menyahut cabaran mengejar detik gemilang yang lebih cemerlang apabila tirai sukan antarabangsa 2025 disingkap beberapa jam saja lagi.
Tugasan mereka akan bertambah sukar jika mahu mengikut kitaran Sukan Olimpik berikutnya di Los Angeles pada 2028. Sebelum ke Olimpik, gambaran kemampuan atlet negara dapat ditilik apabila Sukan SEA 2025 berlangsung di Thailand pada Dis tahun depan.
Pada 2026 pula, Sukan Asia menyusul di Aichi-Nagoya, Jepun. Sebelum ke Jepun prestasi atlet negara akan diuji dalam Sukan Komanwel pada Julai hingga Ogos tahun sama.
Kontinjen negara akan kembali pada temasya Sukan SEA 2027 selaku tuan sebelum mengharungi ujian sebenar di Olimpik Los Angeles setahun kemudian.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.