ULASAN | Ong patut belajar lagi perjuangan bahasa Melayu

Shopee Sale

ULASAN | Merujuk kepada apa yang dikatakan oleh bekas ahli parlimen DAP, Ong Kian Ming, semalam, ingin saya tegaskan bahawa kenyataan itu dangkal dan tidak sepatutnya keluar daripada seorang bekas timbalan menteri.

Malah kenyataan Ong itu juga seolah-olah merendahkan perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pandangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam mahupun elit sepatutnya menyedarkan kita bahawa itulah realiti yang terjadi di negara ini.

Malah, saya rasakan kenyataan perdana menteri tidak lain dan tidak bukan hanya untuk melawan kebobrokan yang berlaku ke atas penggunaan bahasa kebangsaan.

Perjuangan Anwar untuk memartabatkan bahasa Melayu bukan hanya mengambil waktu sehari dua, malah beliau mengabdikan diri untuk memartabatkan bahasa Melayu sejak dari bangku sekolah.

Oleh itu, saya berpandangan Ong tidak sepatutnya bersifat jumud dalam memberikan pandangan itu, malah wajar belajar lagi soal perjuangan bahasa Melayu yang dilakukan Anwar.

Fahmi Zainol

Sejak dari bangku persekolahan Anwar telah bergiat aktif iaitu dalam Persatuan Bahasa Melayu di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Malah, sewaktu memasuki alam pengajian tinggi beliau memangku jawatan Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Di situ Anwar memberikan sumbangan besar dengan menubuhkan Yayasan Anda Akademik bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Yayasan itu melahirkan ramai anak bangsa yang berjaya dalam pelbagai bidang, malah ada dalam kalangan lepasannya menjadi tokoh terkenal dalam negara.

Kepimpinan Anwar selaku ketua mahasiswa sewaktu di Universiti Malaya (UM) turut menonjolkan bahawa beliau merupakan pejuang bahasa Melayu yang tidak kenal erti lelah. Anwar mengetuai kempen menobatkan bahasa Melayu di UM dengan melakukan protes mengecat papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris.

Belajar dari Jepun

Bukan hanya aktif di UM, Anwar malah merupakan anggota jawatankuasa penaja bagi menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1968.

Sewaktu menjadi menteri pendidikan pula, Anwar memperkenalkan pelbagai dasar pro-Melayu dalam kurikulum sekolah kebangsaan. Salah satu perubahan besar yang dilakukannya ialah menamakan semula bahasa kebangsaan dari bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang dilakukan Anwar memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Justeru yang patut disekolahkan itu ialah Ong.

MENARIK:  'Kami tetap bersahabat'

Bekas ahli parlimen Bangi itu sepatutnya menelusuri kembali perjuangan Anwar dalam konteks memartabatkan bahasa Melayu, budaya ilmu dan pendidikan insaniah.

Perjuangan Anwar menjadikan dia dilihat sebagai figura penting dalam pelbagai bidang.

Seperti yang dikatakan oleh Ong, penggunaan bahasa Inggeris memang khususnya semasa bermesyuarat, menarik pelabur asing dan dalam sektor pendidikan tinggi.

Protes dilakukan PBMUM di UM pada 1970

Namun, tidak sepatutnya kita meminggirkan bahasa Melayu terutama dalam hal-hal harian. Malah, dapat kita contohi negara maju seperti Jepun yang masih mengutamakan bahasa sendiri khususnya dalam setiap hal berkaitan negara.

Dalam keadaan begitu pun, Jepun tetap dapat menarik pelabur asing dan mereka diiktiraf sebagai negara maju.

Jelaslah bahawa tahap penggunaan bahasa Inggeris ini bukanlah pengukur kepada kemajuan negara. Hal itu kerana negara yang maju - seperti Jepun - masih tetap menggunakan bahasa mereka dalam semua urusan rasmi.

Tegasnya, saya amat menyokong tindakan Perdana Menteri Malaysia yang menyindir golongan tertentu kerana meremehkan bahasa kebangsaan.

Pemerkasaan budaya, bahasa dan sastera itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa, justeru sangat tidak wajar jika kita meremehkannya.


FAHMI ZAINOL ialah ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular