Lewat jam dua pagi saya tiba di rumah. Pulang dari program Himpunan Solidariti Palestin di Axiata Arena Kuala Lumpur, fikiran saya tak tenang sepanjang perjalanan. Masih belum tenang sehingga sekarang.
Tak tenang kerana dua perkara.
Pertama, hati saya masih gundah dan pilu mengenangkan hal yang menimpa rakyat Palestin. Penindasan demi penindasan, kezaliman demi kezaliman oleh rejim zionis Israel. Hingga yang terkini, membawa kepada pembunuhan pemimpin Hamas as-syahid Ismail Haniyeh empat hari lalu.
Kedua, mengenangkan 'mandomnya’ mahasiswa kita di Malaysia. Mengapa mahasiswa? Mungkin kerana saya pernah berada dalam kelompok itu juga hampir dua dekad lalu.
Tambahan, saya amat terkesan lantaran pidato Menteri Mohamad Sabu malam tadi. Abang Mat menyentuh bagaimana mahasiswa dari sekian banyak universiti seluruh dunia yang tampil dengan pelbagai aksi mengutuk kekejaman Israel dan negara-negara sekutunya.
Baru dua bulan lalu, Universiti Colombia di Amerika Syarikat terpaksa membatalkan majlis konvokesyennya lantaran protes oleh mahasiswa mereka. Sehingga tempoh itu juga, lebih 2,000 mahasiswa ditahan di negara sekutu Israel tersebut.
Bahkan di universiti terkemuka dunia seperti Oxford dan Cambridge juga turut tidak terkecuali. Mahasiswa bangkit bersuara lantang menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman Israel.
Sesetengah yang lain berhasil mencapai resolusi dengan pihak universiti agar memenuhi tuntutan mahasiswa. Antaranya memutuskan hubungan dengan syarikat terkait Israel di universiti, mewujudkan pusat pemberdayaan terhadap isu-isu pembebasan Palestin dan memberikan hak mahasiswa berhimpun dengan aman untuk mengutuk dan mendedahkan jenayah keganasan rejim zionis Israel.
Hal ini menimbulkan tanda tanya, ke manakah perginya 'taring' gerakan mahasiswa kita di Malaysia?
Ironinya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri ketika bergelar mahasiswa era 70-an mengepalai protes di kedutaan US bagi membantah keganasan Israel tatkala berlakunya peranang Arab-Israel.
Sedangkan malam tadi, masih lagi Anwar - yang kini sudah bergelar perdana menteri - yang menganjurkan Himpunan Solidariti Palestin dan mengundang mahasiswa berucap di pentas! Masih Anwar Ibrahim yang sama, yang mengetuai protes mahasiswa 50 tahun dulu.
Di Malaysia, kerajaan anjurkan Himpunan Palestin dan wakil mahasiswa dijemput berucap. Di luar negara, mahasiswa sendiri anjurkan himpunan untuk protes Israel dan laungkan tuntutan-tuntutan mereka.
Soalnya, di manakah mahasiswa kita? Sebegitu jauhkah semangat 'mahasiswa jurubicara ummah' di negara kita ditinggalkan oleh mahasiswa-mahasiswa lain seluruh dunia?
Saya harap mahasiswa kita lebih progresif dan terkehadapan. Isu Palestin isu kita semua. Isu perjuangan rakyat menuntut sebuah pembebasan di tanah airnya sendiri.
Abang Mat tegaskan lagi keyakinannya pada malam tadi, Palestin pasti merdeka. Dan Palestin akan dibina semula atas tangan anak-anak muda dan mahasiswa yang bangkit di seluruh dunia ketika ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri merupakan sosok mahasiswa yang lantang bersuara demi Palestin satu masa dulu. Kesannya, beliau menjadi suara yang disegani masyarakat dunia dalam memperjuangkan pembebasan Palestin sekarang ini.
Buat para Mahasiswa tanah air, lakukanlah sesuatu yang lebih. Kerana andalah yang bakal menjadi mata rantai perjuangan pembebasan bumi Palestin, hari ini dan masa hadapan.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah anggota jawatankuasa tertinggi DAP dan naib pengerusi DAP Johor merangkap bekas aktivis mahasiswa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.