ULASAN | RUU Mufti WP untuk dibahas, bukan didialogkan

Shopee Sale

ULASAN | Portal Malaysiakini melaporkan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar untuk berdialog mengenai Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan.

Mohd Asri berkata: "Menteri agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan yang selaras dengan idea Madani. Malangnya beliau seakan sedang membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan seperti yang pernah dilakukan oleh Ibn Tumart.

"Apa kata jika media rasmi kerajaan memberi ruang saya berdialog dengan menteri agama secara terbuka disaksikan rakyat tanda beliau berupaya mempertahankan ideanya?"

Isu yang nampaknya membawa rasa tidak puas hati Mufti Perlis adalah mengenai definisi “al-Asyairah dan Al-Maturidiyah”.

Rujukan itu dibuat kepada Seksyen 3 RUU tersebut mengenai pelantikan seorang mufti dan timbalan mufti hendaklah seorang warganegara Malaysia, Ahli Sunah wal Jamaah dan mempunyai kepakaran hukum syarak.

Subseksyen 3(4) pula memberikan definisi Ahli Sunah wal Jamaah itu sebagai mana-mana orang yang berpegang dengan al-Quran dan sunah.

Dalam pegangan akidah, dia mengikut pegangan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah, manakala berkaitan syariah - mengikut mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali; atau ijtihad hukum jawatankuasa fatwa.

Tak perlu tonjol jadi hero

Berkenaan dengan tasawuf, mereka perlu mengikut pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Sebagai perbandingan, Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 - atau Akta 505 - menyebutkan “(1) Yang di-Pertuan Agong boleh - atas nasihat menteri, selepas berunding dengan majlis - melantik orang yang layak dan sesuai menjadi mufti dan timbalan mufti bagi Wilayah-wilayah Persekutuan.”

Selanjutnya dalam Seksyen 16(3) RUU Mufti menyebutkan: "Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa yang berhubungan dengan akidah, jawatankuasa fatwa hendaklah mengikut pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah".

Dialog sebenarnya bukanlah forum yang sepatutnya digunakan. Mungkin Mufti Perlis mempunyai idea sendiri berkaitan cadangan tersebut namun sesuatu RUU bukan perlu didialogkan di televisyen sebaliknya dibahaskan di parlimen.

Oleh itu, tidak timbul soal menteri berani atau tidak untuk berdialog di televisyen. Cadangan untuk berdialog pun menunjukkan Mufti Perlis tidak faham proses pembuatan sesuatu RUU.

Mufti Perlis tidak perlu menonjolkan dirinya sebagai hero. Jika ada pun rasa tidak puas hati, adalah lebih harmoni jika Mohd Asri datang ke pejabat menteri di Putrajaya.

Saranan dialog seperti yang diminta semalam hanyalah seperti kartun Upin dan Ipin yang mencabar kawannya yang lain untuk bermain bola. Jika mereka menang, maka akan dijaja di dalam kampung bahawa merekalah hero sebenar.

Skop RUU Mufti ini sendiri terhad kepada Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan). Syarat "akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah" itu cuma dikenakan kepada perlantikan mufti dan timbalan mufti sahaja, bukannya kepada orang ramai.

Maksudnya, penetapan syarat akidah seperti ini tidak pun menjejaskan hasrat agenda keluasan, kesederhanaan, atau idea Madani, apatah lagi membawa kepada kafir-mengkafir atau sesat menyesatkan.

Permusuhan akibat politik

Perbuatan Mufti Perlis menyamakan perbuatan Ibn Tumart dengan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah adalah satu perumpamaan yang tidak tepat. Perbuatan Ibn Tumart itu sepatutnya dinisbahkan kepada perbuatan individu.

Jika benar pun Ibn Tumart seorang yang zalim dan membunuh orang ramai, adakah semua orang Islam lain yang berpegang kepada akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah juga berlaku zalim seperti Ibn Tumart?

Lainlah jika perbuatan zalim itu sendiri dinisbahkan kepada Imam Abu Hasan Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kedua-dua aliran itu juga sudah berzaman berada dalam masyarakat Nusantara.

MENARIK:  MAS ubah laluan penerbangan elak ruang udara Iran

Tidak pernah lagi berlaku permusuhan sesama Islam berpunca daripada masalah aliran ini. Permusuhan, kafir-mengkafir, solat dua imam dan nikah dua kali yang wujud di Malaysia ini adalah banyak diasaskan oleh permusuhan fahaman politik, bukannya berasaskan akidah.

Selain itu, RUU itu juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum dibentangkan di Parlimen. Siapakah Mufti Perlis untuk berdialog membantah perkenan Agong?

Apakah jika Mufti Perlis menang dalam dialog itu nanti bermakna dia boleh mengatasi perkenan baginda? Struktur Perlembagaan Malaysia meletakkan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Perbuatan Mufti Perlis mencabar menteri untuk berdialog mengenai RUU Mufti seolah-olah mencabar perkenan Agong.

Seperkara lagi, seorang mufti dan timbalan mufti akan dilantik oleh Agong. Baginda pula akan dinasihat oleh menteri dan baginda juga perlu berunding dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Maka, dengan proses saringan seumpama itu kawalan pastinya akan dapat dibuat untuk melantik seseorang yang tepat sebagai mufti dan timbalan mufti.

Melibatkan kumpulan pakar

Kebimbangan lain yang ditimbulkan juga adalah mengenai aliran tersebut akan menekan aliran lain melalui proses pewartaan fatwa.

Mereka bimbang jika mufti dan timbalan mufti berakidah menurut pegangan al-Asyairah dan al-Maturidiah maka fatwa yang dibuat itu akan menekan aliran akidah yang lain.

Jika hal itu menjadi isu maka sepatutnya ia dilihat dari segi proses pembuatan fatwa.

Proses pembuatan fatwa haruslah melihat kepada Bahagian IV RUU Mufti yang telah menjelaskan bagaimana sesuatu fatwa itu dibuat. Sekurang-kurangnya ada lima saringan yang perlu dilalui bagi proses berkenaan.

Tiada satu pun menunjukkan proses itu hanya melibatkan mufti atau timbalan mufti sebaliknya membabitkan sekumpulan pakar dan juga perkenan Agong.

Jika melibatkan kepentingan awam, maka ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terlebih dahulu.

Meskipun seksyen 16(3) RUU Mufti Wilayah menyebutkan jika ada fatwa berkaitan akidah dikeluarkan maka jawatankuasa fatwa hendaklah mengikut pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

Namun itu bukanlah bermakna aliran lain akan diharamkan.

Sama seperti kedudukan seksyen 16(1) yang menyebutkan fatwa berkaitan syariah hendaklah mengikut qaul muktamad mazhab Syafie dan jika bertentangan dengan kepentingan awam barulah dirujuk kepada mazhab lain.

Akhir sekali, RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini adalah usaha kerajaan untuk memperkukuh institusi fatwa khasnya di peringkat Persekutuan selaras dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dengan adanya RUU ini diharapkan institusi fatwa akan menjadi lebih kukuh dan dihormati.


ZULQARNAIN LUKMAN ialah pengarah Biro Undang-undang Amanah (Kanun).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular