ULASAN SENI | Banyak yang masih tidak diketahui orang ramai - bahkan ada yang unik - di sebalik perihal nama Aspalela Abdullah.
Suatu ketika dulu sering kita mendengar orang bercanda seolah-olah beristighfar. Mereka tidak mengucapkan astaghfirullahalazim sebaliknya disebut "aspalela abdullah".
Pelawak lejen Saiful Apek tidak terkecuali 'terkait' dengan nama itu apabila dia menghasilkan salah satu lagu hitnya, Aspalela.
Sebagai anak saudara pula ada ketikanya saya ditegur rakan-rakan, kenapa memanggil Aspalela dengan gelaran 'Kak.' Walhal Aspalela itu pangkat ibu saudara saya kerana berkahwin dengan Raja Ismail Raja Saat iaitu adik emak saya.
Keluarga kami juga mempunyai seorang lagi ibu saudara yang menceburi seni dan politik iaitu Ainon Ariffin, tetapi adik-beradik memanggilnya "Mak Enon. "
Barangkali timbul cemburu juga pada ibu-ibu saudara lain yang kami panggil mak, namun memang sejak kanak-kanak hinggalah dewasa, kami - termasuklah sepupu - tetap memanggil Aspalela sebagai 'Kak Aspa'.
Sewaktu saya menziarahinya sebelum ini, Aspalela sempat berseloroh selepas kawannya menyatakan kehairanan apabila wajahnya kelihatan tidak dimamah usia walaupun berumur lebih setengah abad.
"Macam manalah aku nak nampak tua, anak-anak buah semua panggil aku kakak," jawabnya selamba.
Terpengaruh cerita lama
Kak Aspa adalah panggilan kami kepada Aspalela, tetapi sepupunya di Kampung Baru, Kuala Lumpur memanggil beliau dengan gelaran Kak Ngal.
Panggilan itu adalah kerana statusnya sebagai anak tunggal kepada pasangan Siti Sekah Sheikh Mohd dan Abdullah Thamby. Tetapi daripada semua panggilan dan gelaran itu, agak aneh pula apabila ibu bapa Aspalela memanggilnya Burok atau Rok.
Sebagaimana diceritakan sepupunya dahulu, Khadijah Zulkiflee (Lijah), orang tua-tua ada pantang-larangnya apabila berasa bimbang memanggil anaknya cantik, lalu nama atau gelaran itu diterbalikkan.
Nama Aspalela itu hakikatnya cetusan idea ayahnya yang terpengaruh dengan nama watak utama dalam cerita Hikayat Seribu Satu Malam, Puteri Laila Wal Laila.
Lain pula halnya dengan rakan-rakan sekampung apabila mengajuk Aspalela dengan nama lebih ranggi iaitu Sarsaparilla sempena jenama minuman yang popular pada zaman itu.
Keunikan pada nama Aspalela itulah tanpa disedari mencipta populariti untuknya sehingga mampu bertahan lama dalam bidang nyanyian.
Pada masa sama ramai yang tidak menyedari, biarpun Aspalela merupakan bekas juara Bintang Radio, nasibnya tidak seperti kebanyakan juara lain yang mudah diterima merakam suara ke piring hitam.
Aspalela muncul sebagai juara kebangsaan Bintang Radio 1968 namun rezekinya merakam suara ke dalam album hanya muncul pada 1993 iaitu 25 tahun kemudian.
Album pertama beliau, Joget Cari Makan dikeluar dan diedarkan di bawah Warner Music.
Lagu itu ciptaan Omar Taib, manakala lirik nukilan bersama suami dan anak bongsu mereka, Raja Nurul Faiz.
Ditanya mengapa masa yang begitu lama diperlukan untuk Aspalela merakam album sendiri, dia mengaku sukar memahami 'badi' apa menimpa sehingga nasibnya jadi begitu.
Sebagai insan seni jiwa Aspalela sensitif. Dek begitu kecewa Aspalela pernah mengoyakkan sijil penghargaan yang diterima kerana berasa dirinya tidak dihargai sebagai bintang.
Bayangkanlah - M Daud Kilau yang sama bertanding dengannya pada 1968 pun sudah merakam suara dalam banyak album sedangkan dia masih 'meraba-raba' sendiri.
Mengikut rekod, Aspalela adalah naib johan kebangsaan Bintang Radio Asli pada 1964, juara Bintang Radio Asli Kuala Lumpur (1964, 1965, 1966, 1967 & 1968) dan paling prestij juara kebangsaan (perempuan) Bintang Radio 1968.
Berbakat sejak di sekolah
Sudah tentu anugerah itu begitu bermakna dan tinggi berbanding sesetengah 'bintang' sekarang yang menjadi artis hanya selepas melalak di YouTube.
Berdasarkan keadaan, laluan Aspalela untuk menjadi terkenal sepatutnya lebih mudah kerana bapa saudaranya, SM Salim, adalah juruhebah radio sejak 1963 hingga menjawat Ketua FM.
Malangnya laluan untuk Aspalela tidak mudah juga. Semasa saya mewawancara SM Salim pada 1993, seniman itu sempat menjelaskan, setiap kali dipilih menjadi hakim pertandingan nyanyian, dia akan memastikan dulu sama ada Aspalela menyertainya atau tidak.
"Jika tercatat nama Aspalela sebagai peserta, saya menolak menjadi hakim. Saya tidak mahu ada yang berkata: 'mentang-mentanglah dia anak saudara sendiri," katanya.
Pun begitu SM Salim mengakui kagum dengan bakat semula jadi Aspalela.
SM Salim yang dipanggil Alim oleh Aspalela merupakan adik bongsu ibunya.
"Saya dah nampak bakatnya sejak dia bersekolah rendah," kata SM Salim.
"Setiap kali saya ke rumah kakak saya itu dan dia (Aspalela) sedang menyanyi dan sering Aspa bertanya kepada saya: 'macam mana Alim? Burok nyanyi sedap tak?"
Tidak dapat dibayangkan jika Aspalela dan SM Salim digabung dalam sebuah album, pastinya menjadi khazanah seni berharga. Tetapi sudah tentu ia sekadar angan-angan sekarang.
Bakat Aspalela mula dikesan apabila dia sering menyanyi di majlis-majlis perkahwinan saudara-mara di Klebang, Melaka.
Sebelum dikenali sebagai penyanyi lagu asli, Aspalela lebih gemar menyanyikan lagu Inggeris seperti Autumn Leaves, Besame Mucho dan A Certain Smile.
Kehilangan besar dalam seni
Aspalela khatam al-Quran semasa berusia 12 tahun dan dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Baru dan Bukit Bintang Girls School (senior Cambridge).
Dia pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Vivekananda, bekerja di Lembaga Letrik Negara dari 1966 hingga 1983 dan menjadi penolong pengarah filem arahan suaminya sendiri.
Hasil perkongsian hidup dengan Raja Ismail pada 1967, mereka dikurniakan anak Raja Iskandar, Raja Norhanifah dan Raja Nurul Faiz (Ayu). Ayu meninggal dunia pada 1993.
Mereka juga dikurniakan cucu - Puteri Wan Nur Izzati, Megat Ahmad Izzudin, Raja Hafizudin Faiz, selain dan cicit Megat Ahmad Idris.
Dilahirkan pada 30 Jan 1945, Aspalela menghembuskan nafas terakhir dalam ambulans pada Ahad lalu sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarham mengidap lelah dikejarkan ke hospital selepas terjatuh di bilik mandi. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota.
Penyanyi Haziq Rosebi turut terkesan di atas pemergian Aspalela yang disifatkan kehilangan besar dalam industri muzik asli.
"Saya banyak pengalaman dengan Auntie Aspa sama ada berduet atau bertembung sama show kerana genre kami sama.
"Momen berduet dengannya melalui lagu Joget Memikat Hati dan Selasihku Sayang tidak lekang dari ingatan saya. Orangnya ramah dan saya anggap Auntie Aspa sebagai ibu.
"Saya terasa hiba mendapat berita Auntie Aspa sudah tiada. Saya harap ada pihak berilah penghargaan penyanyi-penyanyi lagu asli kita seperti Aspalela kerana suara mereka itulah menghidupkan jiwa kita," katanya.
ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang akhbar serta portal kumpulan Media Prima Bhd.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.