Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu supaya tidak menyertai satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman di Putrajaya esok.
Timbalan Perdana Menteri berkata mana-mana ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.
“Kalau (ada) individu (yang hadir ke perhimpunan solidariti itu), kita serahkan kepada mereka untuk mengambil risiko (sendiri).
“Dalam hal itu, kita harap tidak ada penganjur-penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan (Umno) yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi hari ini.
Pada 3 Jan, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu membatalkan satu perhimpunan bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan di Putrajaya.
Pembatalan itu dibuat selepas Istana Negara memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed menerusi kenyataan hari ini berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang menyertai perhimpunan berkenaan, kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mahkamah Rayuan menetapkan esok sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan berhubung Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengenai tahanan rumah.