Zahid: Umno sokong inisiatif kekalkan kerajaan perpaduan pada PRU16

Shopee Sale

UMNO akan terus menyokong semua inisiatif bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) demi kestabilan politik, perkembangan ekonomi dan kemakmuran negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun terdapat 18 parti komponen di bawah payung Kerajaan Perpaduan, kesemuanya mempunyai objektif yang sama dan perlu terus menjalin keserasian bagi mempertahan kestabilan politik dalam negara.

"PRU ke-16 adalah satu pilihan raya untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dipertahan.

"Pada hemat saya, 152 Ahli Parlimen yang ada sekarang yang memperlihatkan lebih daripada dua pertiga majoriti mesti dipertahan dan kaedah untuk mempertahankannya adalah pelbagai serta mempunyai pendekatan yang juga pelbagai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Syawal di Putrajaya semalam ketika diminta mengulas hasrat PKR yang ingin mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada penggal akan datang.

Ahmad Zahid berkata dalam membangunkan negara, aspek ekonomi mesti dijana dengan baik untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan pulangan pekerjaan itu pula bukan sekadar gaji minimum sebaliknya gaji premium.

"Kita lihat bahawa gaji penjawat awam sedang dalam kerangka untuk diumumkan dan sebagaimana yang kita ketahui, selepas 12 tahun kita akan melihat skema gaji ini akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkat produktiviti dan saya harap dengan ekonomi yang baik, sektor swasta juga akan melakukan perkara sama.

"Begitu juga peluang pekerjaan baharu dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diwujud dengan adanya pelabur asing di negara kita maka punca kepada perkembangan ekonomi adalah kestabilan politik dan ia mesti dipertahan," katanya.

Kerajaan Perpaduan terdiri daripada 18 parti komponen merangkumi lima gabungan politik iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan.

MENARIK:  Ramasamy cadang PN letak calon India di KKB

Ketika ditanya sama ada sokongan penyokong BN terhadap calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan terjejas susulan tindakan beberapa pihak memainkan semula video lama calon DAP Pang Sock Tao mengutuk BN, Ahmad Zahid berkata itu perkara lama.

"Kalau video lama memang banyak, video yang begitu (DAP kutuk BN), parti-parti lain pun begitu juga, dan ada sebuah video oleh pemimpin parti Islam minta sokong DAP, itupun boleh dimainkan (semula).

"Tetapi realiti politik ialah suasana telah berubah. Senario politik juga telah berubah dan pada hemat saya, kita tutup buku lama buka buku baharu dalam hal ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular