Bekas menteri, Zaid Ibrahim, hari ini 'memuji' Tengku Zafrul Abdul Aziz yang membuat teguran terhadap pemimpin tertentu dalam Umno semasa berucap di George Town, Pulau Pinang semalam.
Menganggap ia sebagai "ucapan yang bagus", namun bagi Zaid, ada yang tidak tuntas dalam kenyataan dibuat Tengku Zafrul itu kerana tidak mencukupi syaratnya.
Kekurangan Tengku Zafrul, katanya, ialah senator terbabit tidak berterus terang sehingga orang lain gagal mengetahui dengan tepat siapa pemimpin yang dimaksudkan.
"Tengku Zafrul membidas pemimpin Umno yang muflis idea dan hanya mementingkan agenda peribadi.
"Wah, itu adalah ucapan yang bagus kalau kita tahu siapa yang dia maksudkannya," kata Zaid melalui platform X.
Dia yang pernah menganggotai PKR dan DAP menambah Tengku Zafrul adalah sebahagian daripada tokoh tipikal dalam Umno yang selalu mengelak daripada berterus terang semasa membuat kenyataan.
Kata Zaid, orang sebegitu selalu memilih untuk bercakap dengan teka-teki, mungkin dengan alasan mahu mengelak pihak yang disentuh itu berkecil hati atau kesipuan.
Semua dah tak ada idea
Cara itu, tambahnya, mungkin dianggap sesuai dengan pendekatan dalam budaya Melayu namun menganggapnya sebagai kaedah zaman feudal, justeru tidak lagi sesuai pada ketika ini.
"Ia adalah tanda pengecut dan tidak lagi membawa apa-apa tujuan.
"Bagaimanakah dia mengharapkan orang ramai tahu siapa yang dimaksudkan? Ahli Umno pun akan meneka - adakah dia merujuk kepada Zahid Hamidi, Tok Mat (Mohamad Hasan), Azalina, atau kesemua mereka?" katanya lagi.
Semalam semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Tanjong di George Town, Tengku Zafrul memberitahu masih ada pemimpin dalam parti itu yang ketandusan idea kerana sibuk dengan agenda tidak berkaitan rakyat.
Kata anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu lagi, ahli parti mesti menegur pemimpin terbabit untuk memastikan mereka kekal relevan dan kembali mendapat sokongan rakyat.
Zaid mendakwa ada kemungkinan besar Tengku Zafrul merujuk kenyataan tersebut kepada beberapa tokoh Umno yang kelihatan tidak sehaluan dengan kepemimpinan presiden mereka.
Antaranya termasuklah Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein - kedua-dua mereka adalah bekas naib presiden Umno.
"Apa yang takut sangat nak sebutkan nama? Kemudian (kalau nama disebutkan) barulah ucapan di Tanjong itu akan membawa makna dan kesan," katanya lagi.
Dakwa Zaid, ketika ini tiada lagi mana-mana pemimpin yang mempunyai idea sebaliknya hanyalah pemimpin yang melaksanakan apa sahaja yang diharapkan oleh kerajaan Madani.