Zaid: Hassan betul tentang kes pengiring kerabat raja pukul OKU, tapi…

Shopee Sale

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim sependapat dengan ahli parlimen PKR Hassan Karim bahawa siasatan jenayah tidak boleh dirunding.

Bagaimanapun, dia berkata polis pasti sukar mengumpul bukti apabila pengadu memfailkan laporan berasingan menyatakan perkara itu telah diselesaikan dan dia tidak mahu memanjangkan perkara itu.

Hassan Karim

“Sungguh menggembirakan mempunyai ahli parlimen seperti Hassan yang sentiasa mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Tetapi di negara kita, undang-undang hanya berfungsi atau beroperasi dalam ruang terhad,” tambahnya dalam satu hantaran di media sosial.

Kedua-dua Zaid dan Hassan merujuk kepada kes yang seorang pengiring peribadi kerabat diraja didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) berusia 46 tahun di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen PKR itu, dalam kenyataannya, semalam menegaskan bahawa dari segi undang undang jenayah tidak ada istilah kes telah selesai walaupun ia dinyatakan begitu oleh pihak pengadu.

Menurutnya, apabila sesuatu laporan polis dibuat maka dokumen itu dipanggil first information report atau ringkasnya FIR.

M Indira Gandhi (dua dari kiri)

Mengulas lanjut, Zaid turut memetik kes M Indira Gandhi apabila menuduh pihak berkuasa bersikap selektif dalam hal-hal berkaitan kaum, agama dan Raja-raja atau dikenali sebagai kes 3R.

“Mengapa kamu fikir seorang ibu beragama Hindu tidak dapat menemui anak perempuannya selepas 15 tahun walaupun terdapat perintah yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan kepada polis untuk menggeledah dan membawanya ke pangkuan ibunya?

“Mungkin kerana agama terlibat,” tambah bekas menteri itu.

Selasa lalu, Indira mendakwa tiada usaha serius daripada pihak polis untuk menahan bekas suaminya K Pathmanathan (nama Islam - Muhammad Riduan Abdullah) dan untuk mengesan lokasi anak perempuannya yang berusia 16 tahun.

Anak perempuannya masih seorang bayi apabila suaminya melarikannya pada 2009 selepas memeluk Islam. Indira dan bekas suaminya terlibat dalam kancah perebutan undang-undang yang berlarutan berhubung penukaran agama Islam secara sepihak atau unilateral terhadap anak-anak mereka.

Zaid, turut menyentuh mengenai serangan ke atas beberapa pemain bola sepak baru-baru ini, yang mana polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kaitannya dengan kerabat diraja.

MENARIK:  'Kedah hilang hasil RM100 juta dari tanah sawah boleh dibangunkan'

Katanya, 3R adalah "dasar paling bodoh yang pernah saya alami dalam hidup ini."

Dia berkata, sebahagian besar rakyat negara ini cukup matang untuk menangani isu-isu yang melibatkan 3R.

Justeru, bekas menteri itu menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menarik balik dasar itu dan memansuhkan Akta Hasutan.

"Kerajaan harus sedari bahawa masalah kompleks mesti melibatkan orang ramai jika kedaulatan undang-undang itu mempunyai makna," tambahnya.

Sebelum ini, wartawan veteran A Kadir Jasin juga telah membidas dasar "3R" sebagai "makhluk politik" dan "instrumen kawalan".

Dia juga menegaskan bahawa adalah perkara biasa untuk perbincangan mengenai topik seperti itu timbul dalam negara berbilang agama dan kaum.

“Kita juga mempunyai jumlah sultan dan raja paling ramai (berbanding) mana-mana negara di dunia. Jika mempunyai banyak agama, bangsa dan raja (adalah) 'sensitif', secara logiknya Malaysia tidak akan atau tidak sepatutnya wujud.

“Jadi tidak ada yang sensitif tentang 3R - agama, bangsa dan raja-raja. Unsur-unsur ini sudah berakar umbi dalam perlembagaan kita,” tambahnya.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular