Hanya kerana terasa diri tidak disayangi oleh bapa, seorang kanak-kanak lelaki di China nekad membuat laporan polis.
Merajuk, buat laporan polis
Kanak-kanak berusia 10 tahun itu akan berjalan sejauh satu kilometer (km) dari rumahnya ke balai polis terdekat untuk membuat aduan setiap kali dia tidak diendahkan dan merasakan si bapa lebih menyayangi kakaknya. Difahamkan, dalam tempoh setahun sudah hampir 9 kali kanak-kanak itu membuat laporan polis.
Terbaharu, tular satu video memaparkan kanak-kanak berkenaan datang ke balai polis dan meminta pertolongan pegawai bertugas. Turut kelihatan, dia menangis dan menahan marah saat menceritakan sikap si bapa yang dikatakan sering menyebelahi kakaknya selain tidak mengambil berat tentang dirinya.
Menurut sumber, kes tersebut berjaya diselesaikan dengan bantuan pihak polis sebagai orang tengah. Ibu bapa kanak-kanak terbabit akui mereka terlalu sibuk bekerja hingga tidak dapat meluangkan masa bersama-sama dan kemungkinan disebabkan itu, anak lelaki mereka terasa seperti disisih.