Dua tahun ‘menyepi’ dan tidak muncul dengan sebarang karya, penyanyi Ismail Izzani memberitahu sepanjang tempoh tersebut dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga.
Tebus masa dengan keluarga
Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 24, mengakui momen terindah bersama keluarga banyak terlpas disebabkan dia mula menjadi penyanyi pada usia muda iaitu 16 tahun.
Sepanjang dua tahun jarang muncul, saya banyak habiskan masa dengan keluarga. Lagi-lagi saya sekarang sudah ada anak buah, itu anak buah pertama dalam keluarga.
Saya juga sedar, dulu saya mula sebagai penyanyi pada usia yang sangat muda sekitar umur 16 sudah lancarkan lagu ‘Sabar’ dan menjadikan masa bersama keluarga sangat terhad.
Jadi sepanjang dua tahun lalu, saya dapat betul-betul luangkan banyak masa dengan keluarga terutama ibu. Malah, ketika umur 17 saya sudah tinggal sendiri dan duduk berjauhan dari keluarga.
Ismail berkata demikian ketika ditemui di sidang media pengumuman Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, sepanjang tempoh dua tahun itu, dia banyak menghabiskan masa mengumpul bahan bagi menghasilkan karya terbaharu.
Selain meluangkan masa dengan keluarga, banyak juga masa dihabiskan untuk cari lagu yang sesuai dilancarkan. Macam-macam genre saya sudah cuba untuk cari yang terbaik.
Saya juga banyak muncul di acara yang ‘underground’ dan kurang muncul di kaca televisyen.
Dalam perkembangan lain, Ismail baru meluncurkan lagu berentak afrobeats berjudul ‘Iman’ yang merupakan ciptaan komposer terkenal, Joe Flizzow.