Mahu muncul dengan imej lebih segar, pelakon dan pengacara To’ Puan Syamim Farid kini mahu dikenali sebagai Syamim Freida sebagai penjenamaan semula dirinya selepas dua tahun menyepi.
Gabungan nama ibu ayah
Kata Syamim, 30, nama ‘Freida’ itu adalah gabungan nama ibu dan bapanya yang diharap menjadi pengukuh terhadap perjalanan karier seninya.
Untuk tahun ini saya mahu ‘rebranding’ nama, jika sebelum ini orang kenal sebagai Syamim Farid, sekarang saya mahu gunakan Syamim Freida.
Freida itu gabungan nama ayah dan ibu saya yang mana ‘Fr’ daripada nama ayah dan ‘Eida’ diambil dari nama ibu.
Tujuan lain sempena tahun ke-10 dalam industri, saya ada perancangan kerjaya yang lebih besar. Jadi saya rasakan ini masa terbaik untuk rebranding nama.
Syamim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program temu bual Tiga IS3 yang diadakan di Restoran Majapahit, Mont Kiara, baru-baru ini.
Terbang ke Indonesia
Berkongsi lanjut, naib juara Dewi Remaja 2015/2015 ini berkata, dia juga akan kembali aktif semula dalam bidang lakonan dan akan mengembangkan kerjayanya di negara seberang, Indonesia.
Saya juga akan mula berlakon semula dan nantikan filem terbaharu. Perlahan-lahan saya akan buat kemunculan semula dalam industri.
Awal tahun ini saya mengambil kelas lakonan dan bahasa di Indonesia. Dari situ ada pengarah menawarkan menjalani uji bakat, alhamdulillah saya ‘sangkut’ tetapi perlu berulang-alik ke sana.
Ikut jadual penggambaran bermula pertengahan bulan depan yang mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disempurnakan, tapi saya akan kerap pulang kerana terikat dengan rakaman Tiga IS3.
Program temu bual Tiga IS3 akan berkongsi banyak kisah menarik tentang rumah tangga dan kehidupan seharian Syamim bersama dua lagi hos iaitu Uyaina Arshad dan Adriana Adnan.
Diterbitkan oleh FYP Media, Tiga IS3 sudah mula ditayangkan pada 22 September bersempena Wife Appreciation Day yang disambut pada minggu ketiga bulan September.
Sebagai permulaan, tiga episod akan ditayangkan setiap hari Ahad, jam 5 petang menerusi YouTube FYP Media.