Hanya meluahkan pandangan secara ikhlas, pelakon Rashidi Ishak mengakui tiada niat mahu mengkritik nyanyian aktres dan penyanyi, Nur Fazura.
Pandangan ikhlas
Tidak menafikan Fazura memiliki suara yang sedap, Rashidi, 51, berkata, aktres tersebut perlu banyak membuat latihan vokal bagi mengelakkan nyanyiannya sumbang atau ‘pitching’.
Perkara itu hanya pandangan ikhlas dari saya. Tak dinafikan suara Fazura memang sedap sebagai seorang penyanyi pop, cuma klip yang tular jelas nampak nyanyian dia sedikit lari (pitching).
Kalau kita lihat, untuk penyanyi yang berlatih setiap hari dan sering membuat persembahan, masalah pitching jarang berlaku kepada mereka.
Fazura mungkin kekurangan pengalaman dalam menyanyi secara live. Mana ada penyanyi yang lahir-lahir terus bagus, semua perlu berlatih dan dipelajari.
Penyanyi yang hebat boleh menyanyi dengan baik disebabkan mereka berlatih berjam-jam setiap hari, lakukan latihan dengan betul.
Rashidi berkongsi mengenai perkara itu di sidang media tiga buah drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Selasa.
Peluang lebar sayap
Tutur Rashidi lagi, Fazura dianggap bertuah kerana dapat membuat persembahan di Indonesia dan peluag itu tidak mudah dimiliki.
Saya hanya menulis di thread hanya berkongsi pendapat sahaja. Sama seperti pengguna media sosial lain, mereka akan meluahkan apa mereka rasa di platform tersebut.
Fazura secara tidak langsung bawa nama Malaysia ke luar negara, susah peluang sebegitu untuk melebarkan sayap ke Indonesia.
Terdahulu, Rashidi menerusi hantaran di platform threads menasihatkan pengurus Fazura mencarikan guru vokal sebagai pembimbing aktres tersebut menjadi penyanyi yang baik.