Sebelum ini, tular satu video memaparkan pelakon dan pengacara terkenal, Raja Azura yang dikatakan bergelar isteri selepas mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya yang dipercayai berlangsung, pada Jumaat.
Walau bagaimanapun, dapat disahkan bekas pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu masih ‘single’ kerana majlis tersebut bukanlah majlis perkahwinannya.
Bukan Raja Azura yang kahwin!
Menerusi video dimuat naik @saifalsagoff di TikTok, dapat dilihat Raja Azura atau nama sebenarnya, YM Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin mengetuai perarakan masuk rombongan dengan diiringi pembawa hantaran diikuti pengantin perempuan bersama keluarganya.
Kemudian, video tersebut memaparkan wajah pengantin sebenar yang duduk di atas pelamin ketika majlis pernikahan.
Difahamkan, pengantin lelaki yang dikenali sebagai Raja Muzaffar Idris Shah Raja Izzuddin Iskandar Shah Al-Haj merupakan saudara terdekat kepada Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku.
Terdahulu, hantaran yang dimuat naik Kak Engku menimbulkan spekulasi apabila berswafoto bersama jejaka tersebut sambil mengenakan pakaian sedondon berwarna biru di hantaran Instagram Story (IG STory).
Sekadar info, Kak Engku pernah mendirikan rumah tangga bersama anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff iaitu Adzmin Osman pada Mac 2001 sebelum bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 22, Megat Luqman Hakim, 21, dan Puteri Mia Maizura, 19.