Penyanyi, Syura Badron berkongsi semula detik cemas ketika suaminya iaitu Muhammad Farizat melecur teruk akibat letupan tong gas di tempat penginapan mereka di Perlis, baru-baru ini.
Kronologi kejadian letupan tong gas
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Syura memberitahu kejadian itu berlaku sewaktu suaminya pergi ke dapur untuk mengawal api ketika memanaskan bubur anaknya. Manakala ketika kejadian, Syura dan anaknya berada di ruang tamu.
Namun siapa sangka, tong gas yang digunakan mereka tiba-tiba meletup sehingga mengakitkan suaminya itu mengalami kelecuran yang teruk.
Kejadian berlaku di rumah inap pada hari Jumaat lepas, pada malam tu memang dah jadi rutin saya akan balik rumah awal daripada waktu event (festival makanan) tu tamat. Contoh kalau event habis jam 12 malam, saya akan balik awal sebab ada bawa anak.
Pada malam kejadian, kebiasaan suami akan hantar saya balik ke homestay untuk saya selesaikan keperluan anak-anak dan kebiasaannya dia akan ke tapak event tu semula. Tapi malam tu, dia masuk juga homestay. Sepatutnya saya yang kena, sebab saya adalah orang yang masak bubur anak.
Saya yang ke dapur, panaskan bubur anak dengan api yang kecil. Lepas tu, saya tinggalkan bubur tu dan pergi ke ruang tamu. Kemudian suami saya pula yang pergi ke dapur untuk adjust api bubur tu dan masa itu lah, terus meletup.
Kulit badan suami terbakar, disiat
Bercerita dengan lebih lanjut, Syura mengakui mendengar suaminya itu menjerit meminta tolong namun dia hanya mampu membukakan baju suaminya yang ketika itu sudah mulai terbakar. Tambah Syura lagi, ketika kejadian, dia melihat suaminya itu berada dalam keadaan yang tenang dan tidak kelam-kabut.
Saya dan anak berada di tempat agak terlindung daripada laluan ke dapur tu. Kami memang tak ada apa-apa tapi saya dapat rasakan gegaran rumah dan dengar letupan. Saya dengar suami saya jerit minta tolong.
Saya hanya mampu tolong bukakan baju dia sebab masa tu baju dia dah terbakar. Subhanallah, dia sangat tenang masa tu dan dia tanya saya seterusnya nak buat apa. Dia sempat lagi tengok muka dekat cermin.
Susulan daripada itu, Syura menghubungi rakannya dan Farizat dibawa ke hospital namun hanya mendapat rawatan pada keesokan harinya setelah berpindah ke pusat perubatan yang lain.
Saya kemudian hubungi kawan saya dan kami terus bawa suami ke hospital. Sampai di sana, unit kebakaran tak ada di sana. Kena tunggu sehari baru suami dibawa ke Alor Setar dan mendapatkan rawatan. Masa tu kulit yang terbakar akan ditanggalkan dan suami saya dapat rasakan setiap kali disiat.
Sakit dan peritnya benda tu jadi. Saya ambil keputusan untuk bawa suami balik ke Kuala Lumpur dan saya terpaksa sembunyikan daripada mak mentua sebab takut dia terkejut.
Hari Ahad saya bawa suami dari Alor Setar ke Kuala Lumpur. Kami ambil masa 7 jam untuk sampai tapi Alhamdulillah suami saya selamat ke wad kecemasan dan mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Syura menjelaskan dia dan suami sudah bersetuju dan bersepakat untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemilik rumah inap berkenaan sebaliknya mahu kejadian itu dijadikan sebagai pengajaran buat semua orang agar lebih berhati-hati.