Pelakon jelita Korea Selatan, Song Ji-Hyo mencuri perhatian netizen terutama sekali peminat Running Man Malaysia apabila membalut kepalanya dengan menggunakan kain tuala menerusi episod terbaharu program realiti Korea Selatan itu, baru-baru ini.
Balut kepala dengan kain tuala
Menerusi potongan video yang dimuat naik @inipostsukasuka, ahli Running Man difahamkan perlu memakai kain tuala di bahagian kepala untuk bermain satu permainan yang memerlukan mereka mengelak daripada terkena air.
Tidak seperti ahli lain yang hanya membalut sebahagian daripada kepala, Song Ji-Hyo dilihat memilih untuk menutup penuh bahagian kepala seolah-olah dirinya sedang memakai tudung.
Tindakan Song Ji-Hyo itu telah membuatkan ahli Running Man, Haha terpegun melihat kecantikan yang ada pada raut wajah pelakon berusia 43 tahun itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terpegun melihat kecantikan Song Ji-Hyo sehinggakan ada yang mengatakan bahawa raut wajah pelakon itu mirip seperti pelakon terkenal tempatan iaitu Siti Saleha dan Farah Nabilah.