Pelakon, Syarul Ezani mendedahkan dirinya tidak pernah berkahwin sepanjang hampir 15 tahun berehat daripada industri hiburan tanah air.
Tak mahu kongsi kisah peribadi
Walau bagaimanapun, pemilik nama Syarul Ezani Mohamed Ezzuddeen tidak mahu berkongsi dengan lebih lanjut mengenai kisah peribadinya.
Ujar Syarul, dia mempunyai falsafah hidup untuk tidak berkongsi mengenai kisah peribadinya kepada orang ramai.
Saya tak pernah berkahwin dan saya seperti orang lain dalam generasi saya yang perlu berdepan kepayahan hidup yang sama.
Kami ada komitmen yang perlu difikirkan, perlu berdepan dengan kenaikkan harga barang serta bekerja untuk meneruskan hidup.
Dan saya mempunyai falsafah hidup di mana saya tak memilih untuk menceritakan tentang kehidupan peribadi saya dan saya sejenis orang yang ‘follow the flow’.
Itu adalah saya, di mana saya sangat menjaga privasi saya dan tidak terbuka untuk berkongsi mengenai itu.
Syarul berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi penggambaran drama ‘One Cent Thief 2’ yang diadakan di Bandaraya Malaysia, Kuala Lumpur pada Ahad.
Takut ada orang dengki
Ketika ditanya responnya mengenai dunia sekarang yang lebih memilih untuk membuka aib, pelakon yang terkenal menerusi filem ‘KAMI The Movie’ berpendapat sebagai seorang selebriti dan pempengaruh seseorang itu perlu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
Pada saya, setiap orang ada kehidupan peribadi, aib dan sebagainya. Kadang-kadang kita tak tahu ada orang dengki dengan kita.
Bila kita bercerita mungkin ada orang suka dan mungkin ada orang tak suka. Dari situ akan mula datangnya penyakit ain dan sebagainya.
Bagi saya, itu adalah pilihan diri masing-masing. Sebagai seorang selebriti, tingkah laku kita diperhatikan orang jadi kita perlu menjadi contoh yang baik kepada orang ramai.
Tapi kalau zaman sekarang ini ramai yang memilih untuk berbuat demikian, jadi apa salahnya kalau saya memilih untuk ‘be more private’.
Tapi, manusia kan sifatnya berubah. Mungkin satu hari nanti saya akan terbuka untuk berkongsi mengenai kisah peribadi saya cuma bukan sekarang.
Sekadar info, selepas hampir 15 tahun berehat dari dunia hiburan, Syarul melakukan kemunculan semula dan mula membintangi beberapa drama terbitan TV3 termasuklah drama ‘Kerana Aku Isteri Bidaan’, ‘Hatiku Tercarik Luka’, ‘Hello Jodoh’ dan ‘Mentua’.