Seorang wanita berkongsi detik cemas apabila hampir dipukau oleh dua orang warga asing sewaktu berjalan-jalan bersama keluarganya di Pudu, Kuala Lumpur.
Buat-buat tanya tempat tukar duit
Menerusi hantaran di TikTok, wanita yang dikenali sebagai Azreen memaklumkan bahawa dia dan keluarganya secara tiba-tiba ditegur oleh seorang lelaki dan wanita dipercayai berbangsa Arab.
Kedua warga asing itu kemudiannya bertanyakan kepada mereka lokasi tempat pertukaran wang (money changer).
Waktu itu saya dan keluarga berjalan di sekitar kawasan Pudu dan ketika itu kami ada nampak dua orang warga asing berdiri di tempat pejalan kaki.
Sewaktu kami sedang berjalan, warga asing lelaki secara tiba-tiba bertanyakan kepada bapa mentua saya di mana lokasi money changer.
Bapa mentua saya tak tahu jadi saya pun terus bagitahu lokasi terdekat kepada warga asing itu.
Tambah Azreen, warga asing lelaki itu kemudiannya mengeluarkan dompet sambil berborak dengan bapa mentuanya manakala warga asing wanita cuba untuk mengalih perhatian dengan berborak dengannya.
Si lelaki itu keluarkan dompet dia, sambung berbual dan bertanyakan duit Iran kepada bapa mentua saya.
Sementara itu, warga asing wanita cuba alihkan perhatian dengan berborak dengan saya.
Setelah beberapa minit, Azreen seakan mula sedar bahawa mereka hampir dipukau selepas ibu mentuanya memaklumkan mereka pernah berjumpa dengan warga asing tersebut sebelum ini.
Terkejut dengan perkara itu, Azreen lantas meminta bapa mentuanya untuk tidak melayan lelaki tersebut dan beredar dari tempat berkenaan.
Hantaran tersebut turut meraih perhatian wargamaya yang rata-ratanya turut memaklumkan pernah berdepan dengan situasi yang hampir sama dengan Azreen.
Netizen juga meluahkan rasa risau mereka dengan persekitaran di sekitar ibu kota yang ketika ini dipenuhi oleh lambakan warga asing yang mencurigakan.